Antara negara yang menjadi pilihan utama buat ‘kaki travel’ ialah menjejakkan kaki ke Switzerland. Semua orang pastinya terpukau dengan keindahan suasana kampungnya yang tenang, damai dan berbukit-bukau serta diserikan dengan air terjun.
Tapi mungkin ramai belum tahu, suasana seakan-akan Switzerland juga wujud di Asia Tenggara iaitu di Lembah Harau, sebuah perkampungan lembah di wilayah Lima Puluh Kota, Sumatera Barat, Indonesia.
Dikatakan asal-usul nama ‘Harau’ ini adalah daripada istilah ‘parau’ yang membawa makna ‘suara serak’. Ia terletak 138 kilometer dari Padang, 47 kilometer dari Bukit Tinggi dan 18 kilometer dari Bandar Payakumbuh.
Keunikan utama yang ada di Lembah Harau ini adalah pemandangannya yang cukup memukau mata. Bayangkan, di tengah-tengah lembah berbukit-bukau ini, wujud beberapa bidang sawah padi yang terbentang luas.
Malah lebih menariknya, bangunan-bangunan, perumahan penduduk, hotel penginapan serta chalet pelancong di sini semuanya dibina daripada seni bina Nusantara. Rata-ratanya menggunakan bumbung berbentuk Minangkabau.
Bukit-bukau yang mengelilingi lembah ini dikatakan daripada batuan jenis granit. Dengan tingginya yang mencapai 100 hingga 500 meter ini, sudah tentu kabus tebal akan memayungi keseluruhan lembah ini di pagi hari.
Apa yang mengingatkan kita dengan suasana perkampungan di Switzerland ialah terdapat air terjun setinggi 50o meter di puncak bukit. Siapa yang pernah lihat pemandangan sebegitu di Switzerland, pasti dapat bayangkan betapa indahnya panorama ini.
Jika anda datang melancong ke sini, anda boleh menaiki kenderaan awam yang disediakan seperti van atau motosikal. Boleh dikatakan Lembah Harau dianggap sebagai Tanah Tinggi Minangkabau yang paling cantik di Indonesia.
Di bawah ini adalah koleksi foto-foto menarik yang merakam pemandangan indah Lembah Harau. Jom kita ‘mengembara’ ke sana melalui gambar-gambar ini. Moga lepas COVID-19 nanti bolehlah ke sana nanti.








Sumber: Indonesia Travel / Authentic Indonesia / Kalyana Tantriey