Semalam media sosial ‘dikejutkan’ dengan istilah Spanish Fly yang menjadi ‘trending’ secara tiba-tiba. Mungkin bunyinya seakan sama macam wabak Spanish Flu, tapi tafsirannya sangat jauh berbeza.
Untuk pengetahuan anda, Spanish Fly atau dalam Bahasa Melayunya lalat Sepanyol merupakan sejenis kumbang berwarna hijau daripada keluarga kumbang lepuh (meloidae).
Kumbang ini wujud dan hidup di sekitar selatan Eropah, Asia Tengah dan Mongolia. Dalam tubuh kumbang ini, terdapat sejenis agen toksik aktif yang dipanggil cantharidin.
Cecair cantharidin ini digunakan sebagai penawar dalam perubatan tradisional China bagi penyakit berjangkit selama lebih 2,000 tahun. Malah turut pernah digunakan sebagai ubat ketuat di Amerika Syarikat (AS) dan negara lain sejak 1950an.
Apakah sejarah Spanish fly?

Menurut catatan sejarah seperti yang dilapor Healthline, cantharidin (dalam Spanish fly) pernah digunakan oleh permaisuri Rom untuk meningkatkan rangsangan seksualnya.
Cara memakannya agak ‘unik’, iaitu dengan mengeringkan kumbang itu terlebih dahulu, kemudian menghancurkannya dan campurkan ke dalam minuman atau apa-apa manisan.
Selepas itu, tindak balas pada tubuh badan akan berlaku di mana badan akan mula terasa hangat, selain alat kelamin pula didakwa akan membesar dan membengkak dalam tempoh yang lama.
Mungkin kelihatan seakan ‘ubat kuat’, bagaimanapun alat kelamin yang membengkak itu bukanlah sebab ereksi normal tetapi keradangan yang dipercayai boleh menjadi risiko dan membawa maut.
Kesan buruk Spanish fly
Cantharidin dikatakan sangat beracun dan boleh menyebabkan kecederaan atau kematian jika tertelan. Antara kesan sampingan yang dilaporkan termasuklah keguguran dan priapism (alat kelamin mengeras berpanjangan).
Selain itu, cantharidin juga boleh menyebabkan kekejangan, pendarahan (termasuk di faraj & rektum), muntah darah, kerosakan ginjal, sawan, masalah jantung, air kencing berdarah, darah beku, kegagalan buah pinggang dan koma.
Walaupun jelas membahayakan, namun jualan produk perangsang seks yang kononnya mempunyai cantharidin ini menjadi buruan utama oleh individu yang mempunyai rangsangan seksual yang tinggi..atau bahasa mudahnya, nafsu kuat.
Bagaimanapun penyalahgunaan serta kandungan cantharidin yang tidak mengikut piawaian kesihatan akhirnya telah diharamkan oleh Pentadbiran Makanan & Dadah AS (FDA).

Meskipun pernah diharamkan kerana penyalahgunaan kandungan, namun tujuan asal agen cantharidin dalam perubatan masih tidak dinafikan. Ia dipercayai tetap mampu mengubati penyakit ketuat hingga kini.
Namun atas dasar keselamatan, penggunaan dan pengambilan cantharidin perlu mengikuti protokol kesihatan sebenar, termasuklah mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.
Menurut Healthguide, cantharidin dalam Spanish fly bukanlah bahan perangsang seksual yang semulajadi. Sebab itu ia memberi risiko berbahaya kepada penggunanya jika bukan pada tujuan yang sebenar.
Sebaliknya, bahan pengaktif rangsangan seksual yang dipanggil sebagai aphrodisiacs ini dipercayai boleh didapati daripada sumber semulajadi seperti akar Maca, ginkgo biloba, bunga Damiana, ginseng merah dan pokok Yohimbe.
Sumber: Healthline / Getroman-Healthguide / DermNet NZ