Siakap Keli

Laurent Simons, Budak Genius Yang Dapat Ijazah Sarjana Muda Fizik Seawal Usia 11 Tahun

Seorang kanak-kanak dari Belgium telah ‘mengejutkan’ dunia apabila dia berjaya menggenggam ijazah dalam bidang fizik seawal usia 11 tahun. Mungkin sukar untuk dipercayai tetapi inilah hakikatnya.

Kanak-kanak tersebut, Laurent Simons seakan dilahirkan sebagai seorang genius. Dia memasuki sekolah rendah pada usia empat tahun, sebelum menginjak ke sekolah menengah pada enam tahun dan menamatkannya ketika lapan tahun.

Sangat cepat tempoh persekolahan yang diambilnya sepanjang berada di bangku sekolah. Bermula pada usia sembilan tahun, Laurent mendaftarkan diri di Universiti TU Eindhoven, Netherlands dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Pada awalnya pihak universiti mahu menjalankan graduasinya sebelum hari kelahirannya yang ke-10 tahun. Bagaimanapun ketika beberapa hari sebelum graduasi, graduasinya ditangguhkan lagi sembilan bulan.

Jelas pihak universiti, tempoh itu sangat singkat dan Laurent perlu mempertingkatkan lagi beberapa kemahiran lain yang lebih sukar seperti kreativiti dan analisis kritikal.

Mereka juga menekankan bahawa cabaran pengajian yang Laurent tanggung amat sukar, apatah lagi mahu menamatkan ijazah sarjana muda sepantas kurang dari tiga tahun.

Konflik dengan universiti

Gambar: BBC

Bagaimanapun, ibu bapa Laurent tidak bersetuju dengan keputusan itu. Mereka akhirnya terpaksa memberhentikan Laurent dari universiti tersebut lalu menghebahkan isu ini dalam media Belgium.

Menyedari isu itu sudah ‘panas’ hingga tular di media, pihak reaktor universiti memberi amaran akan menggunakan pihak berkuasa sekiranya perkara tersebut berlarutan.

Difahamkan, jika tidak kerana keputusan universiti itu, Laurent mungkin akan memecahkan Guinness Book of Record sebagai pelajar termuda yang berjaya graduasi dalam bidang fizik.

Untuk rekod Guinness setakat ini, pelajar universiti yang berjaya menamatkan ijazah sarjana muda dalam usia termuda ialah Michael Kearny, 10, dalam bidang antropologi.

Pindah universiti, capai graduasi

Gambar: Google

Setelah terpaksa menamatkan pengajian Laurent di Netherlands, ibu bapanya cuba mencari peluang pengajian lain (yang setara dengannya) di banyak negara namun ianya agak sukar.

Maka mereka memutuskan untuk menghantar Laurent ke Universiti Antwerp di Belgium sendiri. Segalanya berjalan lancar, Laurent juga dilapor mengambil jurusan fizik di universiti berkenaan.

‘Keajaiban’ Laurent terbukti sekali lagi apabila dia mampu menghabiskan pengajiannya hanya dalam tempoh sembilan bulan. Akhirnya kanak-kanak 11 tahun ini berjaya bergraduasi dengan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Fizik dengan kepujian Cum Laude.

Kejayaan Laurent itu sangat membanggakan ibu bapanya hingga mereka sering dijemput berkongsikannya di corong radio. Jelas ibu bapanya, Laurent didakwa memiliki tahap kecerdasan IQ setinggi 14.5 dan mampu berkomunikasi dalam tiga bahasa.

Usia muda bukan masalah

Kredit: Afrinik

Difahamkan, Laurent begitu meminati bidang fizik dan dia bercita-cita untuk mengamalikannya dalam kehidupan manusia. Malah dia juga tidak ‘hairan’ dengan usianya yang terlalu muda untuk berbuat demikian.

Tidak kurang juga, salah satu misi besarnya adalah mahu menggantikan anggota badan manusia dengan organ-organ mekanikal melalui proses saintifik yang diamalikannya.

“Saya tidak kisah pun kalau saya merupakan yang paling termuda. Segalanya bagi saya…adalah ilmu. Ini adalah hal pertama dalam sasaran saya, iaitu menggantikan tubuh manusia dengan bahagian mekanikal. Saya mahu membuat sebanyaknya yang boleh.

“Anda boleh lihat ianya satu ‘teka-teki’ yang besar. Fizik kuantum..kajian mengenai partikel-partikel kecil..ianya semua ada dalam sebahagian ‘teka-teki’ itu,” katanya.

Meskipun sudah memecah rekod sebagai pelajar lulusan sarjana muda termuda, kanak-kanak ini masih mempunyai semangat yang tinggi untuk menimba ilmu.

Justeru, Laurent dilapor bakal menyambung kembali pengajiannya dalam peringkat sarjana (master) pula pada bulan 10 tahun ini, maklum ayahnya, Alexander Simons.

Sumber: Entrepreneur / Interesting Engineering

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.