Siakap Keli

Dihalau Rumah Akibat Tak Mampu Bayar Sewa, Ayah Terdesak Pinjam Ah Long Akhirnya Terjerat Masalah Lain

Meminjam sejumlah duit daripada syarikat pinjaman wang sebagai pilihan terakhir adalah satu keputusan yang berisiko tinggi. Apatah lagi jika meminjamnya dalam keadaan memang tidak berduit.

Namun apakan daya, demi ‘survival‘ untuk diri dan anak-anak, si ayah ini terpaksa berbuat demikian. Itulah detik ngeri yang dilalui oleh ketua keluarga ini setelah ‘dunianya’ berubah sekelip mata sejak pandemik melanda negara.

Hilang sumber pencarian, duit tiada, tak mampu menyara isteri dan anak hingga terpaksa berpindah sana-sini sebab tiada kemampuan membayar sewa. Jadi, apa pilihan terakhir yang ada? meminjam ah long.

Menyangka mungkin temui jalan keluar, namun lain pula yang terjadi. Ibarat ‘keluar mulut buaya, masuk mulut harimau’, keputusan tekad si ayah ini yang terpaksa membuat ‘hutang atas hutang’ akhirnya menjerat dirinya sendiri.

Mari ikuti perkongsian oleh aktivis kemanusiaan, Natipah Abu di bawah ini. Semoga kisah ini menjentik hati kita untuk membantu si ayah ini.

Sedekah Jumaat: tunggakan sewa rumah & modal berniaga

Keperluan: RM5,000
Sumbangan melalui: Maybank NATIPAH ABU 5521 0761 7521

Gambar: Natipah Abu

Tertekan dan terdesak untuk membayar sewa rumah setelah diberi kata dua agar mengosongkan rumah, Encik Hanis tidak punya pilihan lain lagi selain mencuba nasib dengan menghubungi satu nombor syarikat pinjaman berlesen yang diiklankan tanpa menduga dia sebenarnya telah merumitkan lagi keadaan.

Dilahirkan normal, Encik Hanis hilang upaya penglihatan akibat satu kemalangan jalan raya sepuluh tahun yang lalu. Biarpun telah tiga kali menjalani pembedahan, mata kirinya gagal diselamatkan dan telah buta. Mata kanannya pula mengalami kerosakan saraf yang teruk sehinggakan telah menjejaskan jarak penglihatannya – B3.

Beliau perlu memakai cermin mata khas dengan kanta yang tebal. Bagaimanapun, hari ini cermin mata itu sudah kabur kerana power matanya semakin bertambah sedangkan kanta itu tidak pernah berganti.

Dulu, selain wang bantuan bulanan dari JKM, mata pencarian utamanya ialah mengurut. Selain bekerja dengan majikan, dia juga mengurut dari rumah ke rumah. Pendapatannya sebagai tukang urut dulu, cukup untuk menyara isteri dan dua orang anak yang berusia 14 dan 7 tahun.

Pandemik melanda, dia antara rakyat Malaysia yang hilang punca pendapatan. Sejak itu kehidupannya pun berubah. Dia terpaksa berpindah dari satu rumah ke satu rumah bahkan dia pernah tinggal di bilik sewa.

Anak perempuan sulungnya terpaksa diserahkan ke bawah jagaan ibu di kampung kerana hidup di bilik sewa sangatlah tidak sesuai buat seorang gadis sunti. Takut dihalau lagi, dia nekad ingin melangsaikan tunggakan sewa dengan cara meminjam dari ah long yang berlindung di sebalik nama syarikat kewangan berlesen.

Dia dikehendaki membayar RM300 untuk tujuan memproses pinjaman yang berjumlah RM2,000 yang dimohonnya bagi tujuan melangsaikan tunggakan sewa rumah. Walaupun di dalam sakunya, sudah tiada wang lagi namun mengenangkan jumlah RM2,000 yang bakal diluluskan kelak, dia nekad untuk ikhtiarkan juga yuran memproses pinjaman itu.

Untuk mendapatkan wang RM300 itu, dia telah meminjam dari seorang kenalan dan berjanji akan membayar semula sebaik mendapat wang pinjaman RM2,000 itu. Selang beberapa hari selepas membayar wang proses, dia dihubungi dan dimaklumkan bahawa pinjamannya telah diluluskan sebanyak RM5,000.

Bagaimanapun, sebelum bayaran RM5,000 itu dibuat, dia dikehendaki mendepositkan ke dalam akuan syarikat tersebut, RM500. Kali ini, dia memang benar-benar sudah mati akal. Dia mengadu kepada seorang kenalan lagi. Dari situ, barulah dia sedar, rupanya dia telah ditipu. Kenalan yang dia berhutang RM300 sebelum ini pula, datang menuntut hutang yang dijanjikan.

Tidak punya wang untuk membayar kembali hutang itu, maka dia telah menggadaikan motosikalnya kepada si pemberi hutang sebagai galang ganti. Kisah dia ditipu ah long ini mendapat perhatian di kalangan NGO setempat dan atas sebab itulah, dia dirujuk kepada kita.

Oleh kerana dia sudah tidak mampu bekerja seperti orang yang normal maka yang mampu kita usahakan ialah menyediakan warung dan memodalkan si isteri, Nur Amylia Adila binti Mohammad (34 tahun) untuk berniaga.

Kita akan mengusulkan pasangan ini kepada pihak berwajib utk mendiami rumah PPR. Rumah PPR ini terletak di tengah bandar dan sangat sesuai seandainya si isteri dapat berniaga di sana.

Maka itu, Sedekah Jumaat kita hari ini, kita niatkan untuk membantu Encik Mohd Hanis Bin Haron (35 tahun) melangsaikan tunggakan sewa rumah dan menyediakan beliau sebuah warung untuk berniaga.

Akhir kalam, Jumaat yang barakah, sama-samalah kita doakan agar Allah peliharalah kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dan hapuslah COVID-19 dari bumi Malaysia ini. Amin.

Jom bantu En. Hanis hari ini

Sekiranya anda berbesar hati untuk nak membantu En. Hanis keluar daripada kesempitan, bolehlah menghulurkan sumbangan seikhlas hati melalui Puan Natipah Abu di 5521 0761 7521 (Maybank) atas nama NATIPAH ABU.

Semoga sumbangan ini mampu membantu En. Hanis sekeluarga dan memurahkan lagi rezeki kita semua. Amin.

Sumber: Natipah Abu

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.