Dalam kerja-kerja pertukangan, kita akan berhadapan dengan pelbagai risiko bahaya yang tidak mustahil boleh menyebabkan kemalangan. Malah lebih teruk, ada yang sampai kehilangan nyawa gara-gara ‘malang yang tidak berbau’.
Bagi ahli tukang, tentu cukup kenal dengan mesin pencanai bermata tajam atau lebih ‘mesra’ dipanggil grinder. Umumnya, mesin ini berfungsi untuk mencanai permukaan-permukaan tertentu.
Namun tidak dinafikan, ada sesetengah ahli tukang menggunakan mesin ini, ‘lari’ daripada fungsi asalnya iaitu untuk memotong kayu. Ia tidak sesuai untuk tujuan tersebut, maka tidak mustahil akan berlaku kemalangan ‘ngeri’.
Baru-baru ini, seorang warga group Facebook Tukang Apa Hari Ini (TAHI), Ad Mus berkongsi kisah seseorang yang menggunakan grinder bukan pada tujuan asalnya hingga berlaku kecelakaan. Mari ikuti kisah ini.
Akibat salah guna

“Saya secara tak sengaja. Terjumpa jiran saya yang dah lebih setahun tak berjumpa. Kerana dia telah membeli sebuah rumah kampung.
Pada tahun ini, di hari pertama satu Ramadan, dia meringan-ringan tangan dia untuk memasang alang-alang kayu untuk buai anak dia. Dengan hanya meminjak tong air biru, tukul dan grinder.

Dia cuba untuk memotong balance kayu yang terkeluar dari siling menggunakan mata kayu yang dipasang pada grinder. Tidak sampai seminit. Dan hampir dengan Maghrib, grinder tu menendang. Terus membuang dan melenting selepas menyambar tangannya dan terus terbelit di lengannya. Satu jari telunjuk putus. Dan satu jari hantu cacat kekal.
Hati-hatilah kawan. Dilarang keras menggunakan grinder seperti ini.”

Manakala gambar di bawah ini pula menunjukkan keadaan jari hantu yang masih ‘terselamat’. Kata Ad Mus, tangan dan jari-jari ini masih boleh bergerak.
Namun begitu, ia mungkin tidak normal seperti dahulu lagi kerana jari hantu itu sudah ‘jem’ dan tidak mampu bergerak lagi.

Nasihat daripada netizen
Perkongsian ‘ngeri’ ini meraih perhatian warga TAHI, rata-rata mereka turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa. Namun sebagai peringatan buat semua, ada antara mereka yang menyampaikan nasihat keselamatan.
“Banyak kegunaan grinder, tapi tengok atas kesesuaian, boleh jadi pemotong kayu, besi, plastik, sander, polisher, drill kalau guna mata drill tapi semua pun kena hati-hati sebab lari dari fungsi azali. Pakai pemegang tambahan dan safety yang cukup, malang tidak berbau,” – Ahmad Fauzie Hussin
Sementara itu, seorang netizen, Asri Rashid berkongsi semula pesanan nasihat berkenaan kegunaan grinder seperti di bawah:-
Menurut kenyataan ini, kegunaan asal grinder hanyalah untuk kerja-kerja mencanai sahaja. Namun apabila disalahgunakan, tidak mustahil ia akan mengundang bahaya.
“Assalamualaikum bila lihat gambar begini, aku nak beri amaran keras dan merayu, jangan tukar mata grinder ke mata pemotong kayu. Pengalaman aku banyak orang tua biasanya degil masih juga guna. Akibatnya ada yang hampir mati terkena ni. Ngeri woi. Kick back bahaya. Aku yang tukang kayu & perabot berbelas tahun ni pun tak berani guna. Baik guna gergaji biasa je kalau mesin rosak. Tolonglah, jangan cuba-cuba ok. Untuk potong besi nipis, mencanai asah parang ok lah dengan mata sesuai. Itu pun kena hati-hati,” – Sofian Fariz
“Grinder ni tak kira la laju atau perlahan. Sebab ada yang jenis boleh adjust speed. Memang tak sesuai digunakan untuk potong kayu. Sedangkan kita potong besi pun akan ada lompat kalau salah sikit. Ada pula yang suka buka cover pelindung atas tu kononnya supaya mudah nak memotong. Itu 2x bahaya. Kalau potong kayu guna mata tiles atau mata potong besi tu masih stabil lagi. Tapi kalau tukar mata kayu yang gigi besar-besar ni memang alamatnya tak kena kat jari, dia lompat ke muka. Jangan cari penyakit. Beli je mesin potong kayu yang besar kat DIY ada. Harga pun berpatutan. Kalau takda bajet sangat beli je gergaji. Lebih selamat.” – Izhar Masuri
Semoga perkongsian ini menjadi pengajaran untuk kita semua.
Sumber: Ad Mus melalui Tukang Apa Hari Ini