Pandemik COVID-19 sememangnya telah memberikan pelbagai kesan kepada kehidupan seharian manusia. Walaupun sudah ada negara yang dikatakan telah ‘memenangi’ peperangan ini, namun risiko jangkitan virus ini terus ‘menghantui’ ramai orang.
Sejak virus COVID-19 ini melanda dunia, pelbagai spekulasi yang dibuat atas pelbagai tujuan. Antaranya ialah pelbagai mitos-mitos yang tular sama ada di media sosial mahupun di bibir segelintir manusia.
Walau bagaimanapun, mitos-mitos yang lahir sejak pandemik ini perlulah disangkal supaya fakta yang tidak benar tidak terus tersebar kepada lebih ramai orang. Antara mitos yang pernah kita dengan adalah alat pengimbas suhu badan boleh mengesan COVID-19. Namun ianya perkara tidak benar kerana ia boleh mengesan individu yang demam atau mempunyai suhu badan melebihi paras normal.
Menurut infografik dari Bernama yang bersumberkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO), antara mitos yang lain adalah COVID-19 boleh dirawat dengan menambah cili atau lada ke dalam makanan. Namun, ianya tidak boleh merawat atau mencegah COVID-19 walaupun makanan pedas berlada sememangnya sedap untuk dimakan.

Antara mitos lain yang perlu disangkal adalah menahan nafas selama 10 saat atau lebih tanpa rasa tidak selesa atau batuk bermaknan anda bebas COVID-19. Walau bagaimanapun, cara terbaik untuk mengesan COVID-19 adalah melalui ujian makmal. Tindakan mengesan virus tersebut dengan hanya ujian pernafasan juga sebenarnya boleh mendatangkan bahaya.
Selain itu, berjemur di bawah matahari pada suhu melebihi 25 darjah celsius juga dikatakan sebagai mitos untuk mencegah COVID-19. Perkara ini kerana panas bagaimanapun cuaca, seseorang individu masih boleh dijangkiti virus tersebut. Tambahan lagi, negara yang bercuaca panas juga mencatatkan kes COVID-19.

Mitos COVID-19 yang kelima pula adalah virus itu boleh tersebar melalui lalat rumah. Walau pun begitu, tiada bukti dapat mengesahkan perkara itu.

Oleh itu, mitos-mitos yang berlegar di media sosial atau melalui komunikasi lisan perlulah dielakkan supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan ramai pihak.
Sumber: Bernama