Siakap Keli
Kredit: Bernama/FB Dr Noor Hisham Abdullah

“Jika Engkau Tentera Allah Yang Dikirimkan Untuk Membanteras Kesombongan Manusia,..” Teks Khutbah Aidiladha Buat Jemaah Tersentuh, Mengalirkan Air Mata

Di kala pandemik, kita semua meraikan Aidiladha dalam keadaan serba sederhana. Ramai yang  terpaksa berkorban rindu mengenangkan keluarga dan ibu bapa yang jauh di mata dek kerana virus halus bernama Corona ini.

Malah, kehidupan umat manusia di serata dunia berubah 360 darjah selepas COVID-19 menjangkiti ratusan juta orang sepertimana wabak-wabak yang pernah menjangkiti dunia suatu ketika dahulu.

Situasi ini pastinya membuatkan ramai antara kita terduduk dan bermuhasabah memikirkan, “Bilakah segalanya akan berakhir?”

Terbaru, khutbah Aidiladha dikongsikan Jabatan Agama Islam Perak telah membuatkan ramai jemaah menitiskan air mata apabila khatib menyentuh mengenai situasi semasa pandemik.

Dalam khutbah itu, khatib juga telah menyelitkan doa agar Allah mengangkat virus ini daripada muka bumi agar kehidupan kembali seperti biasa.

Berikut adalah bahagian teks khutbah Aidiladha Negeri Perak yang membuatkan para pendengarnya mengalirkan air mata sebentar tadi.

Hampir dua ratus juta penduduk dunia telah dijangkiti, dan lebih empat juta orang telah meninggal dunia disebabkan virus covid-19.

Wahai makhluk Allah, virus Corona yang dinamakan Covid-19, jika engkau tentera Allah yang dikirimkan untuk membanteras kesombongan manusia yang telah begitu banyak melakukan kerosakan di muka bumi milik Allah ini, segerakanlah tugasmu agar para hamba Allah yang tidak berdosa, tidak menjadi mangsa kerana perbuatan orang-orang yang telah melakukan kezaliman.

Wahai makhluk kecil yang sedang menggemparkan dunia, sesungguhnya engkau menjadi bukti akan kuasa Pencipta yang tidak ada daya kekuatan manusia untuk melawanmu, pulanglah ke tempat Penciptamu dengan tenang dan hentikanlah segera seranganmu terhadap kami yang lemah ini.

Ya Allah Maha Pencipta, pada pagi Aidiladha yang syahdu ini, kami pohonkan, dengan kudrat-Mu, dihentikan serangan makhluk kecil virus Corona ini, daripada mengganggu kehidupan harian kami, kami pohonkan kehidupan kami dikembalikan seperti biasa, membolehkan kami bekerja, beribadah, melakukan umrah dan haji serta dapat menziarahi kedua-dua ibu bapa dan saudara-saudara tua kami, agar terubat kesepian mereka yang sangat rindu mahu bertemu dengan anak cucu.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, wa lillahilhamd.

Sumber: Jabatan Agama Islam Perak

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.