Siakap Keli
Kredit: Bernama

Usaha NGO Untuk Vaksinasi COVID-19 Di Luar Bandar Dan Pedalaman

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Cuaca pagi Selasa 6 Julai agak panas sebaik sahaja van yang membawa pasukan petugas kesihatan dan beberapa orang sukarelawan berhenti di sebuah lorong sempit di sebuah kampung di Beranang, Selangor.

“Syukur, sekurang-kurangnya hujan sudah berhenti, ” kedengaran suara seorang sukarelawan. Beliau adalah antara enam orang dalam pasukan petugas berkenaan.

Misi hari itu adalah untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada sekitar 18 orang penduduk kampung di sekitar Beranang yang disenaraikan untuk program vaksinasi anjuran pertubuhan bukan kerajaan termasuk MERCY Malaysia, Islamic Medical Association of Malaysia Response & Relief Team (IMARET) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia

Program dari pintu-ke-pintu yang pertama diadakan itu turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia meliputi Kampung Kuala Pajam (5 penerima vaksin), Kampung Sungai Sematar (4 penerima vaksin), Kampung Sesapan Batu Minangkabau (6 penerima vaksin) dan Bandar Tasik Kesuma 3 penerima vaksin).

Meskipun terpaksa berjalan kaki dengan membawa peralatan yang berat, penulis yang turut serta dengan pasukan ini dapat melihat betapa gigihnya mereka meneruskan perjalanan demi memenuhi program vaksinasi.

Misi 6 Julai itu penting kerana penduduk kampung yang hendak diberi suntikan itu terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) dan yang tidak dapat bergerak kerana menghidap penyakit.

Seorang daripada warga tua yang diberi suntikan vaksin COVID-19 hari itu ialah Serinang Subi, 69, dari Kampung Sungai Sematar, yang terlantar menghidap keradangan sendi rheumatoid (RA) sejak empat tahun lalu.

“Mula-mula tu, risau juga (nak ambil vaksin). Lepas tu, tengok biasa je orang. Lagipun, makcik ni dah biasa dengan suntkan,” katanya kepada Bernama.

Selain Beranang, satu lagi pasukan petugas enam orang bergerak ke Semenyih untuk tujuan yang sama.

MISI PENTING

Kejayaan program ini amat bermakna kerana ia sebagai pembuka kepada usaha untuk mendampingi pula komuniti yang sukar dijangkau, seperti masyarakat di pedalaman, Orang Asli, orang yang tidak mempunyai negara dan pelarian.

“Misi kami hari ini amat penting kerana menentukan aliran kerja serta cabaran yang mungkin dihadapi, agar kami dapat mencari jalan penyelesaian, ” kata Dr Mohammad Iqbal Omar, ketua unit kesihatan, MERCY Malaysia.

Rumah pertama yang dalam senarai untuk tujuan vaksinasi adalah seorang warga tua lelaki yang sedang pulih setelah diserang strok dan empat orang ahli keluarganya.

Sebaik tiba di rumah berkenaan, Dr Iqbal memberi penerangan kepada keluarga itu mengenai vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dan komplikasi yang mungkin berlaku sebelum bertanya tentang sejarah perubatan mereka serta mendapatkan kebenaran untuk divaksin.

Beliau dan seorang pembantu perubahan kemudiannya menyediakan vaksin untuk suntikan. Mereka tidak mempunyai banyak masa kerana vaksin ini mempunyai jangka hayat hanya dua jam pada suhu bilik. Selepas memberikan suntikan, pasukan ini mengemas kini status vaksin mereka dalam pangkalan data JKM dan memantau mereka untuk selama 15 minit, jika ada sebarang tindak balas buruk.

Kemudian, pasukan itu bergerak ke rumah yang seterusnya, sekitar lima kilometer jaraknya.

Rumah-rumah di Beranang dan Semenyih terletak agak jauh antara satu dengan yang lain. Bentuk pengangkutan yang biasa digunakan adalah motosikal. Sepanjang perjalanan, kelihatan juga beberapa buah van dan kereta. Memandangkan jalan yang sempit, perlu berhati-hati supaya tidak tergesel antara satu dengan yang lain.

Pasukan ini meletakkan sasaran untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada 22,000 orang yang tidak dapat keluar dari rumah untuk tujuan tersebut, di Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk penjaga mereka. Usaha ini akan diteruskan sehingga semua menerima suntikan mereka.

MISI UNTUK YANG BELUM BERDAFTAR

Meskipun agak perlahan pada permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), usaha vaksinasi besar-besaran semakin meningkat sejak minggu-minggu kebelakangan ini.

Laporan menunjukkan setakat 12 Julai lepas, ia melepasi sasaran 400,000 dos sehari. Bagaimanapun, kes harian baharu COVID-19 turut meningkat dan pada 15 Julai mencapai sehingga 13,215.

Memandangkan penyebaran varian baharu yang lebih cepat menjangkiti mangsanya, usaha besar-besaran ini diharap dapat membantu rakyat negara ini menjalani kehidupan sebelum pandemik ini melanda negara ini.

Kerajaan Malaysia merancang memberi suntikan vaksin sekurang-kurangnya 80 peratus orang dewasa, termasuk bukan warga negara agar dapat mengembalikan kehidupan sehampir normal.

Buat masa ini, program dari pintu ke pintu ini untuk warganegara Malaysia yang berdaftar dengan JKM dan tidak semestinya dengan MySejahtera.

Penganjur program ini berharap untuk memperluaskan program ini kepada komuniti yang terpinggir dan mewujudkan pangkalan data mereka sendiri yang akan dihubungkan dengan PICK. Data itu akan memasukkan juga mereka yang tidak dapat mendaftar untuk suntikan vaksin atas sebab termasuk halangan birokrasi dan geografi.

Pakar berpendapat mengurangkan karenah birokrasi dapat meningkatkan liputan suntikan vaksin ini tetapi masih memerlukan pendaftaran mereka yang hendak diberi suntikan, untuk memudahkan tindakan susulan dan untuk dos yang berikutnya.

“Secara idealnya, kita boleh membenarkan orang mendaftar dan terus mendapat suntikan tanpa mengutamakan dokumentasi, ” kata Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, presiden MERCY Malaysia.

Paling mencabar adalah mereka yang tidak dapat mendaftar untuk suntikan vaksin kerana isu kewarganegaraan, termasuk mereka yang tidak mempunyai kerakyatan, pelarian dan pendatang tanpa izin (PATI).

Meskipun komuniti ini pernah diberi suntikan , umpamanya pada tahun lalu apabila berlaku wabak polio di Sabah, namun vaksinasi besar-besaran untuk COVID-19 adalah cabaran baru.

WUJUDKAN KESEDARAN

Menurut Dr Ahmad Faizal, vaksinasi COVID-19 tidak boleh bergantung kepada kerangka usaha vaksinasi sebelum ini kerana situasi yang berbeza.

“Untuk COVID-19, keutamaan adalah untuk warga tua, bukan kanak-kanak, ” katanya.

Agensi kerajaan serta NGO pada masa ini berusaha untuk melaksanakan program suntikan vaksin COVID-19 dalam kalangan masyarakat di pedalaman, kampung Orang Asli dan desa di samping mewujudkan kesedaran dan mendaftar untuk vakisinasi.

Tempat vaksinasi bergerak turut dbuka di kawasan berkenaan.

Namun, dalam hal ini banyak isu yang timbul, ada yang enggan mendaftar, ada yang mendaftar tetapi tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan dan ada juga yang diminta pulang kerana tidak mempunyai kad pengenalan.

Datuk Isa Ab Hamid, senator yang mewakili urusan Orang Asli di Dewan Negara berkata, salah satu cara untuk menyelesaikan isu ini adalah dengan memberi kuasa kepada ketua kampung atau komuniti mendaftar dan memperakui anak buah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita tak mahu hal ini menjadi punca penyebaran virus dalam komuniti Orang Asli,” katanya.

Menurut beliau, mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan yang sah tidak pergi ke tempat vaksinasi kerana takut dan malu dan berharap program kunjungan ke rumah ini dapat membantu golongan berkenaan.

PENDUDUK TANPA DOKUMEN

Menurut Wong Chun Ting, pegawai projek kebangsaan, Kesihatan Awam dan Migrasi, Pertubuhan Antrabangsa untuk Migrasi (IOM), selain pemimpin komuniti, satu lagi cara untuk mendaftar komuniti yang terpinggir ini adalah dengan mengumpul dan menggunakan maklumat untuk mengenalpasti mereka.

“Untuk yang tak ada pengenalan diri, kita boleh kumpul maklumat minimum seperti umur, nombor telefon dan jantina. Ada juga rakyat Malaysia yang tak ada nombor telefon dan kad pengenalan, kita boleh wujudkan nombor pendaftaran yang unik untuk tujuan ini, ” katanya.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan NGO tempatan, Pembangunan Sumber Manusia untuk Kawasan Desa, Malaysia mempunyai jumlah orang tanpa negara tertinggi di rantau ini.

Pada perkiraan terakhir, terdapat seramai 12,400 orang tanpa negara di Semenanjung Malaysia. Tidak ada anggaran jumlah untuk kelompok ini di Sabah dan Sarawak.

Untuk PATI, IOM meletakkan jumlah mereka antara sejuta dan tiga juta orang di Malaysia sementara lebih 170,000 berdaftar dengan UNHCR.

Dr Faizal menekankan pentingnya untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 untuk semua orang di negara ini tanpa mengira status kewarganegaraan mereka.

“Pada masa pandemik, ini lebih kepada isu hak asasi manusia. Perlu beri mereka layanan yang sama, perlu buat ujian saringan dan beri suntikan vaksin, ” katanya.

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.