Siakap Keli

McDonald’s Anjur Program Musaadah Korban Perdana Sempena Aidiladha

PUTRAJAYA, 21 Julai 2021 – McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjayakan Program Musaadah Korban Perdana hari ini, bagi membantu golongan memerlukan.

Melalui program ini, McDonald’s Malaysia akan menyumbangkan sebanyak 12 ekor lembu, dan pembahagian daging akan diagihkan kepada kira-kira 1,000 golongan yang memerlukan, akibat pandemik COVID-19. 

“Kami berharap agihan daging korban ini dapat meringankan beban mereka yang terlibat. Besar harapan kami agar mereka juga dapat meraikan Hari Raya Aildiladha pada tahun ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Program korban perdana yang dilakukan ini juga adalah sebahagian daripada usaha kami dalam mewujudkan impak positif dalam masyarakat di bawah Program Komuniti @ McDonald’s & RMHC. Menyumbang kepada golongan yang memerlukan merupakan nilai teras syarikat yang sentiasa diutamakan,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut hadir semasa agihan daging korban bagi Program Musaadah Korban Perdana di McDonald’s Putrajaya, Presint 2.

“Program Musaadah Korban Perdana ini adalah sebahagian daripada inisiatif Musaadah yang dimulakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi membantu rakyat yang memerlukan dan terkesan akibat pandemik COVID-19. Inisiatif ini dilaksanakan di seluruh negara melibatkan kerjasama Agensi Mengurus Zakat, Majlis Agama Islam di setiap negeri dan mana-mana pihak yang menyalurkan bantuan. Khusus sempena sambutan Aildiladha, kami amat berterima kasih atas kesudian pihak McDonald’s Malaysia untuk turut serta menjayakan program pada hari ini. Semoga lebih banyak organisasi atau syarikat korporat dapat tampil ke hadapan untuk bersama-sama kita dalam melakukan kebajikan,” kata Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Bagi memastikan Program Musaadah Korban Perdana ini berjalan lancar, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memainkan peranan penting memastikan ibadah korban dilakukan oleh pegawai yang terpilih dan dalam persekitaran yang selamat. Ini termasuklah mengenal pasti individu yang layak menerima agihan daging korban. 

“Situasi pandemik masa kini memerlukan kita lebih peka terhadap langkah keselamatan demi kesejahteraan semua. Pihak kami sangat berbesar hati apabila diberi kepercayaan menjalankan tugas ini lebih-lebih lagi ketika sambutan Aidiladha yang membawa makna yang sangat besar bagi umat Islam,” kata Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Nur Farra