Oilimpik Tokyo 2020 sudah membuka tirai secara tidak rasmi hari ini. Apabila acara bolasepak antara acara pertama yang mengambil tempat dalam temasya di negara matahari terbit ini. Walaupun melalui pelbagai halangan dan rintangan dalam melangsungkan temasya sukan terbesar dunia ini, tambahan pula Jepun masih lagi bergelut dengan kes pandemik Covid-19.
Bila sebut tentang bola sepak dan sukan Olimpik ini, antara momen yang paling tidak akan dilupakan peminat bola sepak di Malaysia, tak kira yang muda ataupun tua ialah apabila pasukan negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Itu bukanlah kali pertama Malaysia layak ke temasya itu, kita pernah layak buat kali pertama pada tahun 1972. Tapi entah kenapa kenangan 1980 sangat manis untuk dikenang.
Sesiapa yang menonton atau mendengar dari corong radio pada perlawanan ketika itu, sudah pasti masih terngiang-ngiang dengan suara pengulas ketika itu. “Masih lagi Hassan..Cucuk Hassan!” Dan suara itu kekal ’emas’ di telinga rakyat Malaysia walaupun kita belum lagi lahir di muka bumi ini.
Pasukan yang diketuai jurulatih mendiang Karl Heinz Weigang, berjaya membentuk sebuah pasukan yang ampuh dan mampu bersaing dengan pasukan-pasukan di peringkat kelayakan. Antara pemain yang membarisi skuad kebangsaan ketika itu adalah Soh Chin Aun, Santokh Singh, Hassan Sani, James Wong, Zulkifli Hamzah dan Tukiman Ali berjaya menggerunkan pemain lawan.
Mungkin ada yang bertanya di mana Mokhtar Dahari atau ‘Supermokh’ pada ketika itu? Ya, Mokhtar Dahari tidak membarisi skuad ini dan tidak diketahui punca sebenar Mokhtar Dahari tiada. Mungkin ada kecederaan yang menimpa beliau ketika itu. Keserasian dan seperti keluarga antara kunci utama pasukan ini berjaya melepasi halangan satu demi satu.
Sepanjang pusingan kelayakan, sudah pasti perlawanan penentuan kelayakan menentang Korea Selatan menjadi mimpi indah skuad negara sehingga kini. Apabila jaringan dari James Wong hasil ketangkasan Hassan Sani membawa bola ke kawasan bahaya lawan menghukum Korea Selatan di tengah padang yang becak.
Namun, mimpi indah layak ke Sukan Olimpik sedikit kecewa apabila Malaysia dan beberapa negara lain memboikot Sukan Olimpik 1980 di Moscow kerana pada tahun tersebut berlaku pencerobohan Soviet Union ke atas negara Afghanistan yang tidak disenangi oleh beberapa negara termasuk Malaysia.
Sejarah tetap sejarah. Walalupun tidak beraksi di Sukan Olimpik pada ketika itu, skuad negara dibawa ke Amerika Syarikat untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan serba sedikit mengubati kecewa tidak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow. Itulah kali terakhir pasukan negara layak ke Sukan Olimpik untuk acara bola sepak.
Zaman berganti zaman, pemain bersilih ganti, jurulatih dilantik dan dipecat dan tampuk pengurusan pun sudah berkali-kali bertukar orang tapi sehingga kini kita masih lagi gagal untuk melakar satu lagi sejarah layak ke Sukan Olimpik yang seterusnya. Tidak tahu di mana silapnya, sedangkan dahulu kita mampu bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan tetapi sekarang berapa batu kita dah ketinggalan?
Negara-negara gergasi Asia yang lain semuanya terus menunjukkan kemajuan dalam sukan bola sepak walaupun belum ada wakil negara Asia menjuarai kejohanan utama seperti Piala Dunia mahupun Sukan Olimpik.
Sumber Video: Reahan Md Nor