Beberapa menteri dalam Kabinet Indonesia dilaporkan membuat permohonan maaf beramai-ramai secara terbuka ekoran kegagalan kerajaan dalam menangani kes COVID-19.
Difahamkan, salah seorang menteri pertama yang ‘berani’ tampil membuat permohonan maaf adalah Menteri Maritim & Investasi, Luhut Binsar Pandjaitan dalam satu pengakuan rasmi pada Sabtu (17 Julai).
Dakwanya, pelaksanaan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat (di Malaysia dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan – PKP) di Indonesia masih belum menemui ‘hasilnya’.
“Dari lubuk hati yang paling dalam, saya ingin meminta maaf kepada seluruh rakyat Indonesia jika dalam pelaksanaan PPKM Jawa-Bali ini masih belum maksimum.
“Saya berjanji bahawa kerajaan akan terus bekerja-keras sehingga penularan COVID-19 akibat varian Delta dapat diturunkan dan misi bantuan untuk rakyat dapat diteruskan,” katanya, memetik laporan Kompas.
Jelas menteri berkenaan, kerajaan Indonesia sebelum ini dikatakan masih mampu menguruskan pandemik COVID-19, namun kenaikan kes hari demi hari telah membangkitkan kemarahan rakyat.
Selain Luhut, antara menteri lain yang turut ‘mengakui kegagalannya’ adalah Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUNM), Erick Thohir.
“Kementerian BUNM dengan penuh rendah hati memohon maaf kerana tanggungjawab-tanggungjawab yang diberikan kepada kami tidak sempurna, kerana kesempurnaan (hanyalah) milik Allah SWT.
“Tapi, percayalah dengan segala kemampuan kami..kami berusaha sekeras-kerasnya dan mudah-mudahan ini bermanfaat bagi kita semua,” kata Erick.
Meskipun tindakan permohonan maaf secara terbuka tersebut boleh dianggap sebagai satu tindakan ‘berani mengaku salah’, namun ada pihak berpendapat ianya masih belum mencukupi.
Penyelidik Program Kajian Sosiologi di Universiti Negeri Jakarta, Robertus Robet sebaliknya menyatakan, perkara terpenting yang rakyat Indonesia perlukan ketika ini adalah kepercayaan kepada kerajaan.
“Kerajaan harus memberikan bukti bahawa mereka boleh bertindak dengan jujur dan telus, dalam niat untuk menyelamatkan rakyatnya demi membangun kemaslahatan awam.
“Caranya adalah dengan membuang semua tujuan komersial, buang semua fikiran yang mendahulukan kepentingan bisnes dan buang segala persepsi yang mengatakan kerajaan lebih pentingkan ekonomi berbanding rakyat,” katanya.
Sumber: Kompas