Siakap Keli
Gambar: SCMP

(Video)”Masa Adalah Nyawa,” Penumpang Cerita Detik Cemas Terperangkap Dalam Tren Ketika Banjir, 15 Minit Air Sampai Paras Leher

Bagi para penumpang yang terperangkap dalam kereta api bawah tanah di Zhengzhou pada Selasa lalu, mereka bagaikan berlumba dengan masa.

Hidup dan mati mereka bergantung kepada kepantasan pasukan penyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang semakin cemas menyaksikan peningkatan air dalam tempoh yang singkat. Dalam hanya 15 minit sahaja, air dari paras dada menaiki hingga ke leher para penumpang, lapor South China Morning Post (SCMP).

Menurut perkongsian salah seorang mangsa, Xiaopei, dia terperangkap dalam terowong laluan 5 bersama ratusan penumpang lain sementara air di luar tren terus meningkat.

“Semua bomba dan unit keselamatan, tolong selamatkan kami. Kami terperangkap di terowong laluan 5. Tolong sebarkan mesej ini. Air di dalam tren pada tahap dada. Saya dah tak boleh bercakap. Tolong! SOS.

“Kami ada beratus orang di sini. Masa adalah nyawa,” tulisnya sekitar jam 7.30 pm seperti dikongsikan semula oleh SCMP.

Pada 7.46 pm pula, Xiaopei sekali lagi memuatnaik kiriman terakhir sebelum kehabisan bateri telefonnya memaklumkan air sudah sampai ke tahap leher.

Situasi itu berlarutan selama kira-kira sejam, sehinggalah mereka semua diselamatkan sekitar 8.50 pm.

Sementara itu, salah seorang penumpang lain yang terselamat berkongsi ketakutan serupa ketika air mula masuk ke dalam kereta api dinaikinya.

“Ramai di sekeliling saya yang turut menangis. Kami buat perjanjian bersama untuk tidak bercakap perkara buruk. Kebanyakan kami mengingatkan agar terus diam sementara berusaha berhubung dengan dunia luar untuk mendapatkan bantuan.

“Syukur, salah seorang wanita berjaya berhubung dengan para penyelamat di luar dan terus memberi maklumat tentang situasi kami. Tapi saat paling dahsyat berlaku sekitar 9pm di mana tahap air di luar kereta api lebih tinggi daripada seorang manusia.

“Bila kami lihat ekor tren, kebanyakan bahagian sudahpun tenggelam,” katanya.

Tambah wanita itu, ada antara orang ramai termasuk warga emas, kanak-kanak dan wanita hamil di dalam kenderaan itu.

“Ada yang mengigil, tercungap-cungap dan muntah. Ada kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas dalam kalangan kami. Ramai antara kami penat sebab terendam berjam-jam di dalam air,” katanya.

“Saya rasa hilang harapan, bersedia jika tak mampu keluar dalam keadaan bernyawa. Bila air sampai ke kepala, saya mula hantar mesej selamat tinggal dan atur urusan selepas kematian dengan orang tersayang,” ujarnya.

Kongsi wanita itu lagi, udara di dalam kereta api itu berkurangan dengan pantas, memaksa mereka memecahkan tingkap siling sebelum penyelamat tiba.

“Udara berkurang dengan cepat. Kami dapat idea pecahkan tingkap siling yang lebih tinggi menggunakan pemadam api dalam gerabak pertama, di mana tahap air tak terlalu tinggi. Pengudaraan semakin baik, dan ketika itulah para penyelamat tiba.”

Rakaman video dan gambar situasi ketika kejadian menunjukkan ramai berusaha untuk tetap timbul dan meminta bantuan. Ada yang hanyut manakala ada yang tidak sedarkan diri selepas ditarik keluar daripada gerabak kereta api itu, lapor SCMP.

Bagaimanapun, kebanyakan video itu dilaporkan telah ‘hilang’ daripada media sosial tempatan sekitar tengah hari Rabu.

Hujan lebat yang bermula pada Ahad di wilayah Henan itu didakwa telah meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa di mana 12 daripadanya merupakan penumpang yang terperangkap di stesen kereta api manakala tujuh lagi dilaporkan hilang.

Seramai 200,000 penduduk tempatan dipercayai hilang tempat tinggal sementara pengangkutan awam menjadi lumpuh.

Lapor SCMP, jumlah kumulatif hujan dalam tempoh tiga hari itu hampir sama dengan jumlah hujan bagi tempoh satu tahun bandar tersebut.

“Kami sudah biasa dengan hujan lebat (banjir) sehingga tahap buku lali pada musim panas. Banjir baru-baru ini hanyutkan banyak kereta, tak pernah ada yang berlaku seperti kali ini yang memusnahkan segalanya,” kata salah seorang individu terselamat.

Sumber: SCMP

"