Baru-baru ini tular mengenai isu seorang pemuda yang dikompaun setelah didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana menziarahi tanah perkuburan. Kompaun yang dikenakan adalah berjumlah RM2,000.
Kes tersebut mendapat perhatian umum sehingga sampai ke pengetahuan bekas pemain bola sepak Kedah, Azmeer Yusof. Simpati dengan nasibnya, Azmeer menawarkan untuk membantu membayarkan kompaun tersebut.
Bagaimanapun segalanya sudah dianggap ‘selesai’ apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sendiri yang berhasrat untuk membayarnya. Azmeer berkongsi maklumat ini di Facebooknya tengah hari tadi.
“Semalam (21 Julai) pada jam 12.30 tengah hari saya call adik yang kena kompaun tu. Saya minta adik tu call Pejabat Kesihatan untuk pembayaran kompaun tersebut.
“Selepas jam 2 petang, adik tu terus ke Pejabat Kesihatan. Kemudian, JKM (MUNGKIN) tunggu adik tu di Pejabat Kesihatan untuk mendengar sama apa yang boleh dibantu.
“Selesai perbincangan antara tiga pihak, akhirnya JKM menyatakan ingin membayar kompaun tersebut yang sudah diberi diskaun sebanyak 50 peratus,” katanya di Facebook hari ini.
Menyedari pembayaran kompaun ditanggung oleh JKM, pemuda tersebut memaklumkan perkara itu kepadanya menerusi panggilan telefon.
“Saya cakap tiada masalah siapa pun yang bayarkan, janji selesai segalanya. So Alhamdulillah selesai semuanya untuk pihak adik itu.
“Ketahuilah kita semua segala apa yang terjadi ini adalah kehendak Allah. Semua ini ujian untuk kita semua,” tambahnya.
Sumber: Azmeer Yusof