Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Ambulans Disyaki Alami Kebocoran Gas Dihantar Ke JKR, Henti Operasi Serta-Merta

SEREMBAN, 22 Julai (Bernama) — Ambulans membawa petugas Klinik Kesihatan (KK) Bukit Pelanduk yang dipercayai mengalami kebocoran gas sehingga menyebabkan mereka tidak sedarkan diri sebaik tiba di Hospital Port Dickson pagi tadi akan dihantar ke Jabatan Kerja Raya untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata kenderaan tersebut juga tidak dibenarkan beroperasi serta-merta.

Menurutnya, Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) telah menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan terdapat kebocoran gas dalam ambulans berkenaan.

“Oleh itu, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kecemasan klinik terbabit, perkhidmatan itu akan diberikan oleh klinik kesihatan berhampiran dan juga Hospital Port Dickson,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam kejadian hari ini, ketiga-tiga orang petugas kesihatan iaitu seorang pegawai perubatan dan dua orang penolong pegawai perubatan menghantar seorang pesakit yang juga rakan sekerja mereka ke Hospital Port Dickson kerana mengadu sakit dada dan rebah kira-kira pukul 8.30 pagi.

Dr Harlina berkata pesakit tersebut disyaki mendapat serangan jantung dan berada dalam keadaan kritikal ketika kejadian.

Bagaimanapun, apabila tiba di Hospital Port Dickson kesemua mereka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala bantuan dan rawatan segera telah diberikan kepada semua mangsa.

“Semua petugas kesihatan yang terlibat kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Port Dickson. Bagaimanapun, pesakit yang dihantar telah meninggal dunia dan pihak jabatan sedang menunggu laporan post-mortem bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya

Dalam kejadian pagi tadi seorang petugas KK Bukit Pelanduk di sini meninggal dunia manakala tiga lagi tidak sedarkan diri selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida yang tinggi dalam ambulans dinaiki mereka.

Sumber: BERNAMA

"