Siakap Keli
Gambar: Morocco World News

Tips Kekal Sihat Dan Selamat Semasa Gelombang Haba

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) – Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa terhidrat dan berhati-hati dengan gejala penyakit berkaitan haba yang disebabkan dehidrasi dan kehilangan elektrolit dalam gelombang haba semasa di seluruh negara, menurut pakar perubatan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada bersenam ketika cuaca panas terik bagi mengelakkan kenaikan suhu teras badan seseorang dan berisiko mengalami tekanan tambahan.

“Kekal terhidrat semasa bersenam juga penting untuk mengelak kenaikan suhu badan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Malaysia kini berada dalam fasa monsun Barat Daya, yang mengakibatkan iklim panas dan kering, dari sekarang hingga pertengahan September, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Dr Dzulkhairi berkata mandi dengan kerap juga adalah baik kerana dapat menyejukkan badan dan boleh membantu mengurangkan suhu badan.

Selain itu, beliau mengingatkan kelesuan haba mungkin berlaku akibat dehidrasi, dengan gejala tidak spesifik seperti lesu, muntah-muntah dan peredaran darah tidak berfungsi. Ia berlaku apabila suhu teras badan antara 37ºC dan 40ºC.

“Sekiranya tidak dirawat, kelesuan haba boleh menyebabkan strok haba, penyakit yang lebih teruk apabila mekanisme pentermokawalaturan badan gagal,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Monash University Malaysia, Dr Vinod RMT Balasubramaniam berkata bagi individu yang menerima suntikan vaksin COVID-19, tiada kaitan antara cuaca panas dengan peningkatan kesan sampingan yang dialami oleh mereka yang divaksin.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan individu yang baru menerima vaksin agar mengelak melakukan aktiviti berat dan minum banyak air.

Dr Vinod juga menasihatkan agar sentiasa memantau kanak-kanak kecil semasa cuaca panas. “Kanak-kanak peluhnya kurang, sekali gus mengurangkan keupayaan mereka untuk menyejukkan diri dan mereka menjana lebih banyak haba semasa bersenam berbanding orang dewasa. Mereka berisiko tinggi mengalami kepanasan dan menghidap penyakit berkaitan haba. Haba juga boleh menjadikan penyakit sedia ada lebih teruk,” katanya.

Dr Vinod juga mengingatkan pekerja yang terdedah kepada keadaan panas dan lembap di luar, berisiko menghidap penyakit berkaitan haba, terutama yang melakukan tugas kerja berat atau menggunakan pakaian atau peralatan pelindung yang besar yang tidak menyerap udara.

Oleh Zahir Valenteno – BERNAMA

"