Siakap Keli
Gambar: Google

(Video)“Isteri Boleh Dicari, Tapi Buaya Ni Satu Dalam Sejuta,” Lelaki Tak Kisah Ditinggal Isteri, Demi Nak Bersama Dengan Buaya

Pasti ramai diantara kita yang pernah menonton kisah persahabatan diantara haiwan dengan manusia.

Antara kisah haiwan liar yang pernah menjalin hubungan baik dengan manusia yang pernah tular pada sebelum ini adalah singa, monyet, gajah dan lain-lain lagi.

Namun begitu, siapa sangka bahawa buaya yang dikenali dengan reputasi yang merbahaya, ganas, dan bermacam-macam lagi yang negatif sebenarnya boleh menjalinkan hubungan sebagai kawan baik dengan manusia.

Ye, memang ada. Kisah persahabatan seekor buaya dan manusia ini benar-benar berlaku. Ianya terjadi di negara Costa Rica.

Bagi yang tidak mengetahui berkenaan kisah ini, berikut adalah kisahnya:

Pada tahun 1989 di tebing Sungai Reventazón-Parismina di Siquirres, Costa Rica, seekor buaya yang hampir mati telah diselamatkan oleh seorang lelaki bernama Gilberto ‘Chito’ Shedden.

Lelaki yang merupakan seorang nelayan tempatan itu telah merawatnya sebelum melepaskannya semula ke habitat asalnya.

Namun begitu, dia terkejut kerana mendapati bahawa buaya itu tidur di luar rumahnya pada keesokan harinya. Di situlah bermulanya tali persahabatan mereka dijalin.

“Selepas buaya itu ikut saya pulang ke rumah, dan datang tiap kali saya panggil namanya, saya tahu ianya boleh dilatih,” kata Chito.

Buaya itu dinamakan dengan nama Pocho dan dilaporkan telah ditembak oleh seorang penternak lembu yang khuatir bahawa dia akan memakan ternakannya.

“Saya hanya ingin dia merasakan bahawa ada seseorang yang mengambil berat tentangnya, tak semua manusia jahat” kata Chito kepada The Tico Times.

Semasa tempoh pemulihan Pocho, Chito telah memastikan bahawa Pocho diberi makan dengan baik. Chito juga turut mensimulasikan cara mengunyah makanan untuk mendorongnya makan kerana pada awalnya buaya tersebut menolak untuk makan.

Chito juga turut mencium, bercakap dan tidur dengan rakan reptilia barunya itu.

“Makanan sahaja tidak cukup. Buaya itu memerlukan kasih sayang saya untuk mengembalikan semangat hidupnya,” jelas Chito.

Jelas bahawa haiwan itu hanya berdarah dingin secara biologis tetapi tidak kepada sifatnya. Pocho membuktikan kasih sayang kepada lelaki itu dengan bergegas ke arah Chito sambil membuka mulutnya ketika nelayan itu memasuki ke dalam air, namun terus menutup mulutnya sebelum sampai berdekatan dengan tuannya itu supaya dia dapat dicium pada muncungnya.

 

Nelayan itu telah berkahwin dan mempunyai isteri. Namun isterinya itu dilaporkan memutuskan untuk meninggalkannya kerana dia terlalu banyak menghabiskan masa bersama dengan buayanya.

Dia bagaimanapun tidak menyesal dengan pemergian isterinya dan berkata “isteri boleh dicari. Pocho satu dalam sejuta”.

Kata-katanya itu tampak betul kerana dia kemudiannya berjaya mendirikan rumahtangga bersama dengan wanita lain dan telah dikurniakan seorang anak perempuan.

Khuatir bahawa pihak berkuasa Costa Rica akan mengambil kawannya itu, Chito nekad menyembunyikan Pocho di dalam satu kolam rahsia di dalam hutan berdekatan.

Namun begitu, seseorang telah melihat Chito berenang bersama buaya tersebut dan terus melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Saluran 7 Costa Rica kemudiannya telah memfilemkan kedua-dua mereka pada bulan Julai 2000. Sejak dari itu, populariti mereka terus meningkat naik di negara Chile, Amerika Syarikat dan juga di United Kingdom.

Mujur, Kementerian Alam Sekitar dan Telekomunikasi membenarkan mereka berdua tinggal bersama dengan syarat pihak berwajib boleh memantau Pocho.

Seorang doktor haiwan dan Ahli Biologi sejak dari itu mula memberikan Pocho makan ayam seberat 30kg dan ikan pada setiap minggu bagi memastikan kesihatan buaya itu terjaga.

Sepuluh tahun kemudian, kedua-dua mereka telah berganding bahu melakukan persembahan pada setiap hari Ahad di kampung halamannya di Siquirres di mana mereka akan menunjukkan jalinan persahabatan mereka kepada pelancong.

Satu dokumentari berjudul ‘The Man Who Swims With Crocodiles’ yang diarahkan oleh Roger Horrocks dari Afrika Selatan menceritakan tentang kisah unik mereka itu.

Pengarah tersebut merasakan bahawa trauma di kepala Poco hasil dari tembakan itu mungkin telah merosakkan otaknya, ianya mungkin telah mengubah tingkah laku semula jadinya di mana dia kini dapat merasakan kasih sayang manusia selepas diselamatkan oleh Chito.

Sayangnya, setiap kisah pasti akan ada pengakhiran. Pocho dilaporkan telah mati pada 12 Oktober 2011. Pada ketika itu, usianya dikatakan dalam sekitar 60 tahun.

Majlis pengkebumian yang sama seperti manusia telah diadakan untuknya di mana Chito menyanyikannya sambil memegang tangannya. Badan Pocho selepas itu telah dibawa ke muzium di bandar Siquirres untuk dipamerkan.

Chito kini dilaporkan sedang melatih seekor buaya yang baru yang bernama Pocho II. Buaya itu juga turut ditemuinya di sungai yang sama berdekatan dengan rumahnya.

Namun begitu, bagaimana hubungannya bersama buaya barunya itu akan terjalin belum dapat dipastikan lagi namun pertemuan dan hubungannya dengan Pocho benar-benar sangat istimewa untuknya.

Sumber: esquireme

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.