Temasya sukan antarabangsa Olimpik Jepun 2020 sudah pun bermula secara rasminya pada malam ini. Pembukaannya yang penuh gilang-gemilang dimeriahkan dengan kemasukan perarakan daripada wakil setiap negara.
Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentulah kita tertunggu-tunggu untuk melihat kelibat wakil dari Malaysia masuk ke stadium dan beraksi di kaca televisyen. Tetapi perasan atau tidak, perarakan yang masuk ke stadium ini tidak mengikut susunan huruf depan nama negara.
Ramai yang menyangka, perarakan bermula daripada negara-negara yang awalnya namanya berhuruf A seperti Afghanistan, Albania dan Algeria sehinggalah M seperti Maldives, Mali dan Malaysia. Hakikatnya, ia tidak begitu.
Dalam Olimpik Jepun 2020 ini, Jepun sebagai penganjur dan tuan rumah tidak menggunakan susunan abjad Roman A-Z pada giliran negara bagi perarakan ini, sebaliknya menggunakan huruf bahasanya sendiri iaitu Hiragana.

Mungkin agak janggal kerana selama ini kebiasaannya susunan negara mengikut abjad Roman. Namun difahamkan, ianya adalah bertujuan untuk mempromosikan budaya bahasa Jepun di pentas antarabangsa.
Jika merujuk kepada giliran negara pada perarakan malam ini, ianya tidak mengikut abjad Roman yang standard. Sebab itulah negara pertama yang berarak adalah Greece, diikuti Iceland, Ireland, Azerbaijan dan lain-lain hinggalah yang ke-177 iaitu Malaysia.
Menariknya, setiap perarakan negara yang masuk, pasti akan disebut namanya dengan lenggok Bahasa Jepun. Misalnya Itali disebut ‘Itaria’ (イタリア), Netherlands disebut ‘Oranda’ (オランダ), Jerman disebut ‘Doitsu’ (ドイツ) dan Malaysia disebut ‘Marēshia’ (マレーシア).
Unik kan temasya Olimpik kali ini? Jom kita tonton video perarakan kontinjen Malaysia masuk ke dalam stadium. Dengan tanjaknya, baju kurungnya, saling tidak tumpah bagaikan pahlawan Malaya. Selamat berjuang MALAYSIA!
Perarakan masuk pasukan Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020. Go Malaysia Go!! #OpeningCeremony #OlympicGames #Olympics2021 pic.twitter.com/e9hQV6oS7d
— KhairulAsyrafMZ 🏴 (@KhairulAsyraf20) July 23, 2021
Sumber: Wikipedia / Kyodo News / Twitter