Siakap Keli

(Video) Guna Konsep TV Show ‘Masquerade’, Gimik Sukan Olimpik Tokyo 2020 Jadi Tumpuan

Pembukaan tirai temasya sukan antarabangsa Olimpik Tokyo 2020 pada malam ini penuh dengan keunikan, malah jauh sangat berbeza berbanding siri Olimpik terdahulu.

Sebentar tadi kita telah menyaksikan perarakan kontinjen yang masuk ke stadium mengikut negara masing-masing. Menariknya, giliran nama negara menggunakan huruf Hiragana, bukan Roman (A-Z).

Di sebalik kemeriahan ini, ada satu lagi kejutan yang sangat menarik dan ‘mengimbau’ nostalgia hiburan Jepun satu ketika dulu, iaitu aksi persembahan gimik jenis-jenis sukan yang dimainkan sepanjang temasya Olimpik ini.

Jepun tidak menayangkan jenis-jenis sukan hanya sekadar di skrin, tapi ia dipersembahkan dengan lebih kreatif menggunakan gimik orang yang bersut kosong dan membuat aksi tertentu mengikut jenis sukan.

Mari tonton video gimik seperti yang dirakam dan dikongsikan di Twitter di bawah ini.

Dengan sut kosong bertutup penuh itulah mereka bergerak melakukan aksi seperti berenang (bagi sukan renang), berkuda (bagi sukan equestrian), angkat berat (bagi sukan angkat berat) dan banyak lagi.

Sekali pandang, memang cukup teruja dan kagum. Tapi ingatkah anda, konsep gimik ini sebenarnya pernah digunakan dalam rancangan hiburan Jepun yang cukup terkenal satu ketika dulu, iaitu Kasou Taishou (Masquerade).

Rancangan Masquerade ini pernah ditayangkan di kaca televisyen setiap minggu. Setiap kumpulan peserta akan menggunakan bermacam-macam cara, gaya dan peralatan untuk melakonkan sesebuah aksi.

Rata-rata netizen pun baru tersedar akan konsep Masquerade yang turut digunakan dalam Olimpik Jepun 2020 ini. Pendek kata, tahap kreatif orang Jepun memang sukar nak disangkal. Jom kita layan salah satu persembahan ini.

Watak utama di sebalik gimik, Gamarjobat

Selain itu, ada satu lagi perkara menarik tentang persembahan gimik seakan Masquerade pada malam ini. Tahukah anda, salah seorang watak penting di sebalik kru bersut penuh ini adalah pelawak terkenal Jepun, Gamarjobat?

Ketika sidang media yang berlangsung selepas persembahan pembukaan, beberapa individu penting Olimpik Jepun 2020 terlibat untuk berhadapan dengan media.

Namun di hujung meja, terdapat seorang kru gimik yang masih bersut lengkap tanpa membuka topengnya. Mungkin agak pelik, tapi setelah dibuka, rupa-rupanya ialah ahli kumpulan Gamarjobat, iaitu Hiro-Pon.

Gambar: Twitter

Bagi anda yang gemar mengikuti hiburan dari Jepun, pasti anda cukup kenal dengan kumpulan Gamarjobat. Mereka cukup ‘pakar’ membuat aksi lawak senyap (silent commedy) dengan gaya yang menarik.

Cukup hanya berbekalkan sebuah beg besi dan sekeping papan hitam, mereka boleh buat pelbagai aksi lawak yang tidak kering gusi dibuatnya. Gamarjobat juga sering diundang untuk membuat persembahan di beberapa negara.

Zaman kegemilangan Gamarjobat adalah pada sekitar 2011 dulu. Kalau anda kenal Gamarjobat, mesti anda sudah tonton video mereka yang cukup ‘lejen’ ini. Jom layan sekali lagi.

Sumber: Twitter / Tristen Lavier / DGA TV

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'