Mangsa yang berusia 40-an itu berlari keluar dari rumah kedai dua tingkat yang terbakar bagi meminta tolong sebelum orang awam berjaya memadamkan api yang menyambar mangsa.
Difahamkan, mangsa ialah penjaga premis berkenaan yang merupakan antara bangunan warisan terletak di tengah pusat bandar raya George Town.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Muzzamer Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat pada 3.13 petang dan tiba 10 minit kemudian.
“Ketika pihak bomba tiba di lokasi mendapati api sedang marak di sebuah bilik di bahagian belakang rumah itu dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengawal kebakaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muzzamer berkata terdapat dua lelaki terlibat dalam kebakaran itu namun mereka berjaya keluar dari rumah berkenaan sebelum pihak bomba tiba dengan mangsa pertama tidak mengalami kecederaan, manakala mangsa kedua melecur 80 peratus.
“Kami dimaklumkan yang mangsa sebelum itu cuba menyelamatkan diri dengan melompat pagar rumah kedai untuk meminta bantuan orang awam. Keadaannya ketika itu stabil dan masih sedar,” katanya.
Beliau berkata mangsa yang melecur itu diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut.
“Kebakaran itu menyebabkan bilik didiami mereka musnah 20 peratus, ketika ini punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
— BERNAMA