Siakap Keli
Gambar: Google

Kenapa Atlet Rusia Bertanding Di Olimpik Tokyo Guna Bendera ROC? Ini Sebabnya Ramai Belum Tahu

Sekiranya anda melihat atlet ROC bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan anda tidak pasti negara mana yang diwakili oleh atlet-atlet berkenaan, nampaknya anda tidak keseorangan. Kalau ada yang perasan, atlet-atlet dari Rusia bertanding di Olimpik Tokyo dengan menggunakan bendera ROC. Mungkin ramai lagi yang tertanya-tanya mengenai ROC dan mengapa Rusia ‘mewakilinya’?.

Memetik laporan USA TODAY, ROC bukanlah singkatan bagi negara tetapi bermaksud Jawatankuasa Olimpik Rusia(Russian Olympic Committee). Keadaan tersebut dikatakan menjadi jalan penyelesaian bagi atlet Rusia untuk bertanding di Olimpik walaupun tidak dibenarkan.

Menurut sumber, ROC mempunyai 335 atlet yang bertanding di Tokyo dan kini berada di kedudukan 10 teratas di papan pingat, memenangi pingat emas, 4 pingat perak dan 3 gangsa.

Menjadi persoalan, bagaimana atlet Rusia dibenarkan untuk bertanding sedangkan negara mereka dilarang? Pelbagai persoalan mengenai ROC untuk bacaan anda terutamanya mengenai kenapa Rusia dilarang bertanding di Olimpik.

Negara apa yang diwakili oleh ROC?

ROC atau Jawatankuasa Olimpik Rusia tidak mewakili negara itu sendiri. Atlet dari Rusia dapat bertanding di bawah penamaan ROC, tetapi bukan Rusia itu sendiri kerana negara itu dilarang bertanding. Mereka juga tidak dapat menunjukkan bendera Rusia.

Mengapa Rusia dilarang ke Olimpik?

Rusia dilarang menyertai Olimpik pada tahun ini oleh arahan Court of Arbitration for Sport kerana terlibat dengan skema doping (doping scheme).

Siasatan oleh Agensi Anti-Doping Dunia dilaporkan telah mendapati lebih daripada 1,000 atlet Rusia mendapat ‘manfaat’ atau terlibat dalam program doping yang ditaja negeri dari tahun 2011 hingga 2015, lapor USA Today.

Rusia dikatakan telah dilarang pada asalnya untuk bertanding dalam Sukan Olimpik, Paralimpik dan Kejuaraan Dunia selama empat tahun. Larangan itu dijalankan sehingga CAS mengurangkan sekatan tersebut kepada dua tahun, pada tahun 2020.

Bagaimana atlet Rusia masih dibenarkan bertanding?
Atlet Rusia yang didapati tidak terlibat dalam skema doping masih dibenarkan untuk bertanding, tetapi sebagai berkecuali (neutral).

Selain itu, atlet yang di bawah penamaan ROC dikatakan boleh memakai pakaian seragam dengan warna Rusia. Namun, sekiranya mereka memenangi pingat emas, lagu Rusia tidak akan dimainkan.

Apa negara lain yang dilarang menyertai Olimpik?

Menurut portal, ini bukan kali pertama Rusia dilarang ke Olimpik. Atlet-atlet negara itu dipercayai telah dilarang untuk bertanding selama pertandingan Olimpik 2016 di Rio kerana skema doping yang ditaja oleh negara.

Bukan itu sahaja, Jawatankuasa Olimpik Kuwait juga dilarang semasa Sukan Olimpik 2016 setelah undang-undang sukan diluluskan di negara itu yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Pergerakan Olimpik. Walau bagaimanapun, atlet dari negara ini dikatakan masih dapat bersaing dengan nama pasukan ‘Atlet dari Kuwait’.

Selain itu, pada tahun 2000, negara Afghanistan juga telah dilarang dari permainan Olimpik di Sydney, Australia. Hal ini disebabkan oleh diskriminasinya terhadap wanita di bawah pemerintahan Taliban.

Sumber: USATODAY.com

Nurul Nabila