Siakap Keli
Gambar Via Bernama/Scroll In

Bertekad Nak Robek Hati Rakyat Malaysia, Leverdez Tersungkur Di Tangan Lee Zii Jia

Kemeriahan temasya sukan Olimpik Tokyo terus dirasai di negara ini apabila pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia telah berjaya menewaskan lawannya dari Perancis, Brice Leverdez dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan M sebentar tadi.

Mengambil masa selama 33 minit, Zii Jia memenangi perlawanan itu secara straight set dengan mata 21-17, 21-5.

Walaupun ditonton dari kejauhan, rakyat Malaysia juga turut merasai adrenalin semasa Zii Jia bertungkus lumus ‘meranapkan’ impian Leverdez untuk ke peringkat seterusnya.

Namun, apa yang pastinya adalah tumpuan rakyat Malaysia juga terarah kepada Leverdez yang sebelum ini telah membuat kenyataan bahawa dia akan ‘merobek’ hati peminat di Malaysia dan mengalahkan Zii Jia.

Memetik laporan dari Astro Awani semalam, Leverdez yang sebelum ini pernah mengalahkan Zii Jia dan Datuk Lee Chong Wei mengatakan bahawa dia 100 peratus telah bersedia untuk menghadapi perlawanan malam ini.

“Saya harap dapat meremukkan hati peminat Malaysia. Maaf,” katanya.

Sementara itu, media sosial juga dihujani dengan ucapan tahniah kepada Zii Jia berserta ucapan semangat buatnya meneruskan perlawanan yang seterusnya.

Pun begitu, Zii Jia masih perlu menentang jaguh badminton dari China, Chen Long pada petang esok. Bukan saingan yang mudah namun didoakan agar Zii Jia berjaya mengekalkan rentak kemenangannya. Malaysia boleh!

Sumber: Twitter, Bernama

Sofea

There's always another side to every story