Siakap Keli
Gambar: Natipah Abu

Hilang Suami Tempat Bergantung, Ibu Gigih Berniaga Dengan Anak Walau Diserang Asthma

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sejak kehilangan suami, si ibu ini terpaksa ‘survive’ sendiri mengerah keringat mencari rezeki untuk anak-anak. Apalah dayanya lagi untuk bergantung setelah bahu yang menjadi tempat bersandar selama ini telah pergi buat selamanya.

Dalam masa sama, dirinya sendiri turut ‘tenat’ menghidap penyakit. Diserang tanpa mengira waktu, pernah terpaksa berkejar ke klinik sewaktu tengah-tengah malam semata-mata untuk dapatkan rawatan.

Walaupun besar dugaannya, namun hidup perlu diteruskan. Si ibu cekal ini perlukan talian hayat kita. Bersempena Jumaat yang mulia ini, mari kita hayati perkongsian oleh aktivis masyarakat, Natipah Abu di bawah ini.

Sedekah Jumaat: bantuan ibu tunggal

Keperluan: RM5,000
Sumbangan: Maybank Natipah Abu 552107617521

Gambar: Natipah Abu

Nama saya Asma Syarmila binti Mazlan, umur 38 tahun. Saya berasal dari Perlis. Berkahwin dengan arwah suami, Allahyarham Mohd Muzammir Bin Rozli pada tahun 2005. Sejak itu saya terus menetap di Kedah.

Kami dikurniakan 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan. Arwah bekerja sebagai pemotong kayu getah. Kehidupan kami sederhana saja dan tinggal di rumah sewa.

Alhamdulillah tahun ke-11 perkahwinan kami iaitu pada tahun 2016, permohonan rumah kami oleh ZAKAT KEDAH telah diluluskan dan siap dibina pada 2017.

Tahun 2018 kesihatan arwah tiba-tiba merosot, tidak mampu lagi membuat kerja-kerja berat. Akhirnya, arwah didiagnosis mengidap sakit buah pinggang tahap 3.

Gambar: Natipah Abu

Anak yang ramai, kami tetap perlu berusaha demi membesarkan mereka maka kami mengambil keputusan untuk berniaga takoyaki.

Kami sama-sama berniaga dengan membuka gerai di hadapan masjid. Alhamdulillah perniagaan kami mendapat sambutan dan mampu menampung kehidupan.

Bagaimanapun, saban hari kesihatan arwah semakin merosot. Arwah sempat menjalani dialisis 3 kali ketika hayat.

Sayangnya juga, kami hanya sempat berniaga bersama selama dua bulan sahaja sebelum arwah dimasukkan ke hospital.

Doktor mengambil keputusan untuk ‘merehatkan’ arwah selama 10 hari sebelum akhirnya arwah pun pergi buat selamanya pada 24 September 2019 pada usia 44 tahun.

Gambar: Natipah Abu

Selepas pemergian arwah, saya cuba bangkit meneruskan perniagaan yang telah kami usahakan.

Sesudah tamat iddah, saya cuma berniaga dari rumah dengan cara open order dan COD kerana saya tiada pengangkutan untuk membawa barang-barang niaga ke tempat niaga.

Baru-baru ini, saya mula berniaga dengan menyewa tapak di sebuah kedai makan seorang sahabat.

Saya sangat berharap untuk memiliki gerai sendiri yang lengkap dengan segala keperluan.

Malangnya juga, kadang-kala saya tidak dapat berniaga selalu kerana menghidap asma. Bila asma saya datang, saya terpaksa bercuti sehari dua. Di tengah malam ke klinik itu, sudah menjadi perkara biasa.

Bil letrik rumah saya sudah setahun tidak berbayar. Bil air pula, sudah dua tahun. Walaupun notis pemotongan entah berapa kali sampai tetapi rezeki anak-anak, tiada pemotongan dilakukan. Keutamaan wang yang ada ialah untuk makan pakai anak-anak.

Saya juga sangat memerlukan mesin nebulizer untuk mengatasi masalah asma saya. Bila asma datang, saya terpaksa ke klinik walau tengah malam.

Saya sedar, anak-anak saya masih kecil. Selain wang bantuan JKM, saya perlu berusaha demi anak-anak.

Anak sulung saya baru berusia 15 tahun dan diikuti adik-adiknya, 13, 11 dan 6 tahun. Saya harus kuat demi anak-anak..

Gambar: Natipah Abu

Maka itu, Sedekah Jumaat kita minggu ini diakad dengan niat menyediakan sebuah gerai, sebuah mesin nebulizer dan membayar tunggakan bil kepada Puan Asma Syarmila binti Mazlan.

Semoga dengan sumbangan kita kelak akan meringankan urusan beliau menguruskan kelangsungan hidup mereka lima beranak.

Jumaat yang barakah, semoga Allah permudahkan segala urusan kita hendaknya, Amin.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Puan Asma perlukan bantuan kita

Jika anda sudi untuk membantu, hulurkanlah sumbangan anda melalui nombor akaun 552107617521 (Maybank) atas nama NATIPAH ABU atau boleh menghubunginya melalui Facebook Natipah Abu.

InsyaAllah semoga apa yang anda bantu ini akan memberi sinar buat hidup Puan Asma satu hari nanti. Semoga rezeki kita dimurahkan olehNya. Amin.

Sumber: Natipah Abu

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'