Siakap Keli
Gambar: Metro

(Video) Berang Pemaju Tak Bayar Kerjanya, Kontraktor Bawa “Excavator” Runtuhkan Balkoni Bangunan

Seorang lelaki yang didakwa sebagai kontraktor bangunan dilaporkan telah meruntuhkan balkoni sebuah blok pangsapuri yang baru siap dibina kerana kecewa selepas mendakwa bahawa hasil kerjanya tidak dibayar oleh pemaju.

Satu rakaman yang dramatik memaparkan bangunan yang terletak di bandar Blumberg, Jerman dimusnahkan oleh sebuah jengkaut pada malam Rabu.

Menurut pihak polis, nilai kerosakan bangunan tersebut dilaporkan mencecah Euro 500,000 (RM 2.5 juta)

Jurucakap kepada pihak berkuasa tempatan menyatakan bahawa pemandu jentera yang berumur 47 tahun itu bertindak sedemikian kerana kecewa bayaran ke atas hasil kerjanya digantung.

Lelaki itu dikatakan telah memperoleh jentera tersebut semata-mata untuk melakukan kemusnahan itu dan hanya berhenti kerana hos hidraulik jentera tersebut rosak, lapor media tempatan.

Dia juga turut merosakkan garaj bangunan, di mana terdapat beberapa tong gas.

Difahamkan ketika kejadian, tiada orang di dalam bangunan itu, namun begitu aksi lelaki tersebut telah menarik perhatian sekitar 50 orang di kawasan berhampiran.

Selepas kerosakan itu dilakukan, lelaki tersebut telah masuk ke dalam keretanya dan terus memandu. Dia dilaporkan menyerahkan dirinya kepada polis tidak lama selepas itu.

Lelaki itu dikatakan merupakan seorang subkontraktor pemaju projek tersebut dan mendakwa bahawa dirinya kini berhutang sebanyak lima juta euro.

Sumber: Metro

Aqmal Ezany

I write what is right