Siakap Keli
Gambar: Google/FB

(Video) Mungkin Lebih Murah, Tapi Ini Risiko Penggunaan Bumbung Jenis ‘Metal Deck Step’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kebanyakan rumah di atas tanah lot di Malaysia hari ini menggunakan bumbung jenis besi, sama ada berwarna merah, biru dan sebagainya.

Terdapat banyak sebab kenapa bumbung besi menjadi pilihan sesetengah kontraktor mahupun ahli tukang. Antaranya adalah kerana ringan, mudah dipasang, kos murah dan lain-lain lagi.

Tahukah anda, bumbung besi yang dinamakan metal deck step ini mempunyai pelbagai kelebihan, namun dalam masa sama ia turut mengundang risiko jika tidak dipasang dengan betul.

Mari ikuti perkongsian Lee Wai Wan dalam Group Facebook Tukang Apa Hari Ini (TAHI) seperti di bawah ini. Semoga bermanfaat.

Metal deck step roofing profile

Gambar: Lee Lai Wan

1. Pengenalan

Ia adalah salah satu jenis reka bentuk seolah-olah nampak seperti atap genting, namun diperbuat daripada kepingan besi yang dimasukkan ke dalam mesin untuk membentuk sebegitu rupa.

2. Kos

Daripada segi kos, ia adalah lebih murah jika dibandingkan dengan menggunakan atap genting. Ini adalah kerana rekaan rangka bumbung juga adalah lebih jarang kerana ia lebih ringan berbanding dengan menggunakan atap genting.

3. Bunyi

Jenis profile ini akan lebih bising sekiranya dipasang terus tanpa sebarang gentian fiber (fibre glass) atau gentian batu (rock wool) diletak di bawahnya. Maka ia akan jadi amat bising semasa hujan lebat.

Gambar: Lee Wai Wan

4. Penebat haba

Pemasangan step roofing tanpa sebarang kertas aluminium di bawahnya akan menyebabkan penyerapan haba panas dan seterusnya menyebabkan bahagian atas siling menjadi amat panas, seterusnya menyebabkan bilik anda turut menjadi panas.

5. Masalah bocor

Gambar: Lee Wai Wan

a) Cara pemasangan – Tukang yang memasang profil ini haruslah daripada kalangan yang berpengalaman. Ini adalah disebabkan oleh profil ini mempunyai banyak lekuk. Sekiranya kepingan yang pertama dan kedua dipasang senget, amat susah untuk memperbaikinya kerana akan berlaku masalah di mana bahagian sambungan akan mempunyai lubang yang membolehkan air masuk di antaranya semasa hujan lebat dan angin kencang.

b) Takung air – Profil ini memerlukan kecuraman yang sesuai untuk memastikan air dapat mengalir dengan lancar. Jika tidak, air akan bertakung di antara lekuk.

c) Kemek – Disebabkan oleh jarak di antara rangka melintang adalah lebih jauh dan kadangkala sehingga melebihi empat (4) kaki, maka adalah lebih menyukarkan untuk memijak di atas rangka bumbung. Sekiranya bumbung itu menggunakan ketebalan kurang daripada 0.4 milimeter, maka kemungkinan ia kemek semasa dipijak di atas profil tersebut adalah tinggi.

Gambar: Lee Wai Wan

Apabila profil itu kemek, maka air akan bertakung di atasnya. Air itu akan mempunyai kemungkinan masuk ke dalam celah di antara skru dan bertakung di dalam rangka besi hollow. Maka lama-kelamaan, besi hollow itu akan berkarat dan ini membahayakan tukang yang naik ke atasnya untuk membuat sebarang pembaikan bumbung.

d) Skru – Disebabkan oleh profil ini mempunyai banyak lekuk, maka semasa mengikatkannya dengan skru, ia harus dilakukan dengan baik. Jika ia diikat secara senget, pasti air akan mengalir ke dalam celah skru.

e) Pembetulan (rectify) – Sekiranya jenis profil ini silap dipasang pada permulaan, adalah amat susah untuk memperbaiki kesilapan dan akan menyebabkan bahagian sambungan berlubang. Maka cara lain adalah meletak bumbung lain di atasnya atau menukar bumbung lain.

Gambar: Lee Wai Wan

Nota: Sekiranya anda ingin menggunakan profil jenis ini, perlu pastikan anda beli jenis 0.47 milimeter (TCT) dan ke atas dan cari tukang yang mahir untuk memasangnya. Jika tidak, anda pasti akan pening kepala menghadap masalah bocor.

Link ini adalah video berkenaan dengan air yang bertakung di dalam rangka hollow:-

Ini adalah link di mana kami menambah kertas aluminium di bawah bumbung jenis ini untuk mengurangkan penyerapan haba dan membolehkan penghawa dingin dapat menyejukkan bilik di bawah dengan cepat dan lebih menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Boleh lihat di SINI.

Sumber: Lee Wai Wan melalui Tukang Apa Hari Ini

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'