Siakap Keli
Gambar: Facebook Nur Dhabitah Sabri

Gambar Lama Dhabitah Tular Semula, ‘Dipijak’ Ketika Latihan Untuk Jadi Penerjun Bertaraf Dunia

Nur Dhabitah Sabri bukanlah satu nama baru dalam arena sukan negara. Atlet muda ini telah mengharumkan nama Malaysia dalam sukan akuatik antarabangsa dan merupakan salah seorang penerjun negara setaraf nama besar Pandelela Rinong.

Baru-baru ini, rakyat Malaysia berkongsi rasa bangga apabila Nur Dhabitah berjaya melayakkan diri ke saingan akhir dalam acara terjun tiga meter papan anjal individu wanita dalam temasya sukan Olimpik Tokyo 2020.

Walaupun tidak berjaya meraih apa-apa pingat dan terpaksa berpuas hati di tempat keempat, namun Nur Dhabitah tetap menjadi juara di hati rakyat Malaysia.

Menghargai sumbangan Nur Dhabitah kepada Malaysia, kembali tular sebuah hantaran yang dimuatnaik di laman Facebooknya kira-kira lima tahun lalu yang menunjukkan bertapa sukarnya dia menjalani latihan sebagai seorang atlet terjun negara.

Dalam hantaran tersebut, Nur Dhabitah berkata, berlatih untuk menjadi atlet bertaraf dunia bukanlah mudah. Oleh itu, dia sangat menghargai sokongan yang diberikan kepadanya dan berharap umum tak membenci dirinya.

“Macam nilah pasukan terjun Malaysia berlatih. Macam yang saya cakap sebelum ni, tak mudah untuk berlatih dan menjadi atlet bertaraf dunia. Sebab tu, saya sangat hargai sokongan anda. Tolong jangan berhenti dan jangan benci saya. Saya sedang buat yang terbaik untuk jadi yang terbaik.”

– Nur Dhabitah Sabri –

Juara di hati rakyat Malaysia

Di ruangan komen, warga net rata-rata berasa bangga dengan pencapaian Nur Dhabitah dan mengucapkan tahniah kepadanya. Tak kurang juga yang memberi kata-kata semangat kepada penerjun negara itu.

Nur Dhabitah menduduki tempat keempat setelah atlet Amerika Syarikat dan China, dalam acara terjun tiga meter papan anjal wanita individu yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.

Sumber: Facebook Nur Dhabitah Sabri

Eyla Azri