Siakap Keli
Gambar: Instagram @aniesbaswedan

Lemah Dan Sesak Nafas, Dua Ekor Harimau Sumatera Positif COVID-19, Kini Jalani Kuarantin

Sehingga saat ini, seluruh dunia masih bergelut dalam melawan wabak COVID-19. Bukan sahaja manusia, malah haiwan turut tak terkecuali dalam penularan wabak ini.

Terbaru, dua ekor harimau Sumatera yang menghuni Taman Margasatwa Ragunan (TMR), Indonesia dilaporkan tertular virus COVID-19 setelah hasil ujian PCR kedua-duanya disahkan positif.

Gambar: @aniesbaswedan

Kedua harimau tersebut, Hari dan Tino kini sedang menjalani isolasi setelah didapati positif 15 Julai lalu.

Gambar: @aniesbaswedan

Menurut Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, Hari dan Tino menunjukkan gejala tiga minggu lalu apabila mengalami flu, terlihat lemah dan sesak nafas.

Pihak pengurusan TMR langsung bertindak memanggil petugas swab untuk mengambil sampel kedua-dua harimau tersebut.

“Kes positif COVID-19 melibatkan haiwan bukanlah sesuatu yang baharu, terutamanya harimau dan singa. Kes seperti ini turut dilaporkan di negara-negara lain,” kata Baswedan.

Walaupun begitu, keadaan kedua-dua harimau tersebut kini semakin membaik dan beransur pulih.

Sumber: Tribunnews

Eyla Azri