Siakap Keli
Gambar: Al-Jazeera, DW, Anadolu Agency

(Video)”Paru-paru Kami Terbakar,” Kebakaran Hutan Di Turki Dilapor Ragut Enam Nyawa, Cederakan Kira-kira 200 Yang Lain

“Paru-paru kami terbakar, masa depan kami terbakar,” kata Muhittin Bocek, Datuk Bandar Antalya ketika ditemubual mengenai kebakaran di Turki.

Lapor New York Times, kebakaran itu telah meragut sekurang-kurangnya enam nyawa sejak ia bermula pada Rabu.

Menurut portal itu, kejadian yang dipercayai mungkin berpunca daripada perbuatan khianat atau kecuaian manusia itu telah mencederakan kira-kira 200 yang lain, memaksa para pelancong dan penduduk setempat berpindah untuk menyelamatkan diri.

Jelas Bocek, kebanyakan penduduk tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana api berada di luar kawalan.

“Apabila api mendekati kami, kami tak dapat selamatkan apa-apa kecuali lembu itu,” kata Nuray Canbolat, salah seorang penduduk daerah Kozan yang terjejas dalam kebakaran.

Mengulas tragedi tersebut, Profesor biologi di Universiti Hacettepe, Ankara, Cagatay Tavsanoglu berkata, kebakaran di lembangan Mediterranean berlaku setiap tahun, pun begitu kejadian pada tahun ini merupakan satu tanda amaran.

“Banyak kebakaran yang tak dapat dipadamkan, dengan pengaruh angin kering, kebakaran berlaku terlalu pantas,” katanya seperti dilapor NY Times.

“Ini hanyalah petanda pertama apa yang perubahan iklim boleh lakukan kepada kawasan Mediterranean pada masa hadapan,” tambahnya.

Kebakaran itu dilaporkan telah bermula di sebuah bandar di selatan Antalya dan merebak ke 70 lokasi lain di negara berkenaan.

Lantaran itu, kerajaan Turki dipercayai telah menghantar 4,000 anggota bomba, ratusan kenderaan dan tiga pesawat untuk memadamkan api.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dirakam berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan mengenai punca kebakaran tersebut.

“Ini bukan sesuatu yang boleh kita abaikan, kerana ia berlaku hampir pada masa sama, di lokasi berbeza,” ujarnya.

Sumber: New York Times

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.