Siakap Keli
Gambar Kredit: Kashoorga

MAIS Seru Semua Pihak Menghormati Bacaan Surah Al-Fatihah Dan Ayat Suci Al-Quran

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyeru kepada semua pihak termasuk orang Islam dan orang bukan Islam untuk sentiasa menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti bacaan surah al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran sama ada dalam majlis rasmi atau majlis tidak rasmi.

Saya berpandangan hal ini perlu lebih diberi penekanan yang penting apabila bacaan surah al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran dilaksanakan khusus kepada umat Islam yang telah meninggal dunia seperti kematiannya akibat daripada pandemik COVID-19, kemalangan dan sebagainya.

Dalam Islam turut mengajarkan hormat menghormati di antara satu sama lain adalah sangat penting dalam tuntutan memuliakan, menghormati dan berkasih sayang sesama manusia. Daripada Abu Hurairah R.A., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

‘Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.’

Riwayat al-Bukhari

Di negara Malaysia, amalan dan budaya masyarakat yang saling hormat menghormati dan hak kebebasan untuk beragama serta mengiktiraf Islam sebagai agama negara perlu dijadikan sebagai agenda utama dalam memastikan talian persaudaraan terus utuh dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan bangsa. Situasi hormat menghormati ini seiring dengan Rukun Negara yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan.

Oleh itu, saya mewakili pihak MAIS menyeru sekali lagi kepada semua masyarakat di Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya sentiasa menghormati agama Islam serta mengurangkan perkara yang melibatkan sensitiviti dan perpecahan rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.  

YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof 

Pengerusi 

Majlis Agama Islam Selangor

Nur Farra