Siakap Keli

(Video) Atlet Pecut Belarus Dakwa ‘Diculik’, Nak Dihantar Pulang Selepas Kritik Pasukan & Kerajaannya

Seorang pelari pecut Olimpik Belarus mendakwa bahawa dia ‘diculik’ dan dibawa ke lapangan terbang untuk diterbangkan pulang ke negara asalnya setelah dia didengari mengadu tentang pegawai pasukannya, lapor portal Sport Bible.

Krystsina Tsimanouskaya yang bakal bertanding dalam acara 200m itu mendakwa bahawa terdapat beberapa wakil pasukan Belarus telah datang ke bilik hotelnya malam sebelum acaranya bermula dan membawanya terus ke lapangan terbang Haneda Tokyo secara paksa.

Dia dilaporkan enggan menaiki pesawat tersebut dan kini mencari perlindungan di Jerman atau Austria untuk tidak kembali ke negara asalnya.

“Dilaporkan bahawa Kryscina Tsimanouskaya, yang secara terbuka mengkritik rejim dan pegawai sukan, dihantar dari Tokyo kembali ke Belarus,” ciap wartawan yang berpangkalan di Minsk, Hanna Liubakova.

“Dikatakan, wakil pasukan kebangsaan Belarus telah membawanya ke lapangan terbang. Sepertinya penculikan.”

Liubakova juga menyiarkan rakaman audio perbualan di antara ketua jurulatih Belarus, Yuri Maisevich dan Tsimanouskaya di mana pelari pecut itu menangis selepas diugut.

Difahamkan, Tsimanouskaya sekarang ‘selamat’ dalam tahanan polis Jepun, menyatakan kepada Reuters dalam pesanan Telegram: “Saya tidak akan kembali ke Belarus.”

“Mereka berusaha mengeluarkan saya dari negara ini tanpa kemahuan saya. Saya mohon IOC untuk campur tangan.”

Jurulatih Belarus dikatakan tampak kurang senang ketika Tsimanouskaya membawa perkara itu ke media sosial untuk mengadu bahawa dia telah memasuki perlumbaan 4x400m berganti-ganti walaupun beberapa anggota pasukannya didapati tidak layak untuk bertanding di Olimpik kerana mereka gagal menjalani ujian doping.

“Sebilangan ahli pasukan kami tidak datang ke sini untuk bertanding dalam acara 4x400m berganti-ganti kerana mereka gagal menjalani ujian doping yang secukupnya,” kata Tsimanouskaya kepada Reuters.

“Dan jurulatih menambahkan saya ke acara itu tanpa pengetahuan saya. Saya membicarakannya secara terbuka. Ketua jurulatih menghamporo saya dan menyatakan bahawa dia telah mendapat arahan dari pihak atasan untuk membuang saya.”

Ianya secara terang-terangan tidak disukai oleh pegawai Belarus, yang kini telah melancarkan kempen “Anda telah memalukan negara” terhadapnya.

Dan menurut Tsimanouskaya sendiri, dia kini takut pulang ke negara asalnya.

Di bawah kepimpinan Aleksandr G. Lukashenko, politik Belarus kini sedang dilaporkan bergolak dengan presiden negara itu digambarkan sebagai ‘diktator terakhir Eropah’ oleh New York Times.

Tidak mahu pulang ke negara asalnya, Tsimanouskaya kini meminta perlindungan di tempat lain dengan Poland negara pertama yang menawarkan bantuan, menurut Yayasan Solidariti Sukan Belarus.

Pasukan Olimpik Belarus telah menafikan tuduhan ini, dengan menegaskan dia dikeluarkan dari pasukan kerana ‘keadaan emosi dan psikologinya’.

Sementara itu, menurut Daily Mail pula, pegawai pasukan Belarus telah memberitahu kepada ibu pelari pecut itu bahawa anaknya telah direkrut oleh perisik asing dan mesti dibawa kembali ke Belarus.

Krystsina Tsimanouskaya diberikan perlindungan oleh Poland pada hari Isnin setelah meminta pertolongan dari polis Jepun di lapangan terbang Haneda Tokyo pada Ahad dengan menyatakan bahawa dia takut akan keselamatannya.

Atlet itu menyatakan bahawa dia secara tidak disangka telah diberitahu untuk mengemas begnya dalam masa yang singkat dan terus pulang ke Belarus setelah dia menyiarkan video Instagram yang mengkritik pasukan kebangsaannya.

Sumber: Sport Bible, Daily Mail UK

Aqmal Ezany

I write what is right