Pihak polis dilaporkan berjaya mengesan seorang wanita yang dipercayai menanggalkan gelang kuarantin dalam satu video yang tular di media sosial pada baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan, pihak polis telah berjaya mengesan dan telah mengeluarkan kompaun terhadap wanita itu.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku di Kamunting, Taiping Perak.
“Pihak polis telah berjaya mengesan wanita tersebut dan tindakan kompaun telah diambil kerana wanita tersebut telah melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 (P.U.A(A) 293/2021) dan hukuman mengikut Peraturan 17 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit).
“(Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293/2021) kerana ingkar arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM) kerana gagal menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di alamat yang didaftarkan dalam dokumen (ANNEX14C) dan kesalahan menanggalkan gelang pengawasan dan pemerharian yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tanpa kebenaran bertulis pegawai diberi kuasa dalam bahasa yang mudah difahami dan diakui faham,” tulis kenyataan tersebut.
Pihak polis turut menyatakan bahawa nilau kompaun yang dikeluarkan kepada wanita tersebut adalah sebanyak RM5,000.
“Nilai kompaun individu berjumlah RM5,000 berdasarkan magnitud kesalahan (Kategori 1: Bil. 1) telah dikeluarkan kepada wanita tersebut yang diperuntukkan di dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” tambah kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, pihak polis menasihati masyarakat supaya terus mematuhi SOP bagi mengelakkan pihak polis mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Sumber: Polis Daerah Taiping