Temasya Olimpik Tokyo yang sedang berlansung sekarang ini menjadi perhatian dunia di mana atlet-atlet negara mereka bertungkus-lumus untuk mengumpul pingat.
Bagi Malaysia, antara acara yang menjadi tumpuan adalah acara terjun dan salah satu faktornya dua atlet yang dikenali ramai iaitu Pandalela Rinong dan Nur Dhabitah turut serta dalam persaingan. Sekiranya anda mengikuti siaran langsung acara ini, pastinya anda tersedar bahawa setiap kali atlet melakukan terjunan, pasti mereka akan ke satu sudut untuk mandi. Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa perlu mandi, jadi inilah jawapan yang SK nak kongsikan.

Menurut Independent, perkara tersebut dilakukan oleh semua atlet adalah untuk menyelamatkan otot mereka daripada menjadi penghalang kepada mereka memberikan saingan. Pakar mengatakan bahawa menyelam ke dalam kolam renang, diikuti pergerakan keluar ke arena yang sejuk adalah tidak bagus untuk penerjun.
Secara umumnya mengikut CBS8, suhu air yang digunakan untuk kolam terjunan adalah tidak boleh kurang daripada 26 darjah selsius manakala suhu kolam renang artistik pula memiliki suhu yang sedikit berbeza iaitu 27 darjah selsius.
Jadi, disebabkan itu, atlet akan mandi pada satu ruang yang tersedia ‘shower’ untuk mereka. Dan kalau anda hendak tahu, air tersebut bukanlah sejuk, tapi sedikit panas. Tujuan perkara ini dilakukan adalah kerana mandi serta merta boleh membuatkan otot menjadi longgar dan dapat mengurangkan risiko ‘cramp’ atau urat tegang.
Sumber: Independent, CBS8