Siakap Keli

Kartun Terkenal ‘Spongebob’ Didakwa ‘Sindiran’ Kepada Kemusnahan Marin Akibat Ujian Nuklear US

Siapa je yang tak pernah tonton kartun Spongebob Squarepants? Animasi yang mengisahkan kehidupan ‘seketul’ span berwarna kuning bersama rakan-rakan hidupan marinnya seperti tapak sulaiman, tupai, ketam dan lain-lain.

Latar belakang tempat kartun ini juga sangat ‘simple‘, tidak perlu lokasi yang hebat-hebat. Cukup sekadar di sebuah bandar kecil di dasar laut yang dinamakan sebagai Bikini Bottom.

Selain itu, perwatakan setiap karakter dalam kartun ini juga berbeza-beza. Ada yang kelakar, ada yang gila-gila serta adakalanya ‘bodoh’, ada yang tamak, malah ada juga sebagai antagonis.

Spongebob Squarepants mungkin dianggap sebagai sebuah kartun ‘ringan’ yang melucukan kanak-kanak. Namun jauh di sudut lain, sebenarnya ia didakwa sebagai satu sindiran tentang kekejaman manusia.

Sejarah hitam ujian nuklear di Bikini Atoll

Tahukah anda, nama Bikini Bottom itu diambil daripada sebuah pulau Perairan Pasifik. Sepanjang 1946 hingga 1958 lalu, Amerika Syarikat (US) pernah melancarkan beberapa siri ujian bom nuklear di sekitar Kepulauan Marshall.

Ketika itu, pulau yang menjadi lokasi pilihan bagi ujian nuklear tersebut adalah Pulau Bikini Atoll dan Pulau Enewetak. Sebagai langkah keselamatan, kesemua penduduk di pulau-pulau itu terpaksa dipindahkan ke pulau lain.

Pada sekitar 1954, giliran Pulau Bikini yang menjadi lokasi ujian nuklear bagi Operasi Castle. Dianggarkan seramai 167 penduduk Bikini dipindahkan ke Pulau Rongerik bagi memberi laluan kepada ujian letupan tersebut.

Gambar: Wikipedia

Akhirnya pada 1 Mac tahun tersebut, bom nuklear Bravo diletupkan di Bikini. Dikatakan impak letupannya sangat kuat hingga mencapai 1,000 kali ganda lebih kuat berbanding bom atom yang digugurkan ke atas Hiroshima dan Nagasaki, Jepun dahulu.

Tidak kurang juga, semasa ujian dijalankan, US turut menempatkan beberapa jenis haiwan dalam sebuah kapal di laut sebagai ‘tikus makmal’ bagi menguji keberkesanan impak nuklear itu.

Akibat letupan besar itu, Pulau Bikini yang sebelumnya menjadi lokaliti penduduk telah berubah wajah menjadi ‘padang jarak padang terkukur’. Dalam masa sama, terumbu karang di dasar lautan juga musnah dengan begitu teruk.

Gambar: National Geographic

Mungkin ujian itu menjadi simbol kebanggaan bagi tentera US, namun sebaliknya turut menjadi mimpi ngeri buat penduduk asal Bikini. Sebilangan besar mereka menyesali tindakan US yang telah menghancurkan kampung halaman mereka sekelip mata.

Pada sekitar 1970an, kerajaan US membawa pulang semua penduduk asal Bikini ke pulau mereka. Namun pada 1978, kerajaan terpaksa memindahkan mereka semula kerana pulau itu dikesan masih dicemari dengan sisa-sisa radioaktif daripada bom nuklear Bravo.

Apakah kaitannya dengan kartun Spongebob?

Isu kartun Spongebob yang dikaitkan dengan peristiwa ujian nuklear US di Bikini Atoll ketika Perang Dunia Kedua lalu sudah lama menjadi teori dalam kalangan ‘pemerhati’ awam di Barat.

Dalam ruangan Reddit kira-kira sembilan tahun yang lalu, beberapa netizen mengungkapkan teori mereka bahawa kartun Spongebob ini sebenarnya adalah satu sindiran kepada realiti kemusnahan marin di Bikini Atoll.

Gambar: Variety

Malah pencipta kartun Spongebob Squarepants, iaitu Stephen Hillenburg (gambar) sendiri adalah merupakan seorang bekas pensyarah sains biologi marin di Orange County Marine Institute, California.

Berdasarkan petikan daripada Screenrant, terdapat beberapa teori yang pernah dirungkai selama ini. Antaranya adalah seperti berikut:-

1) Nama Bikini Bottom. Bandar Bikini Bottom yang menjadi penempatan Spongebob sebenarnya merujuk kepada kawasan Pulau Bikini Atoll yang menjadi lokasi ujian bom nuklear Bravo semasa dalam Operasi Castle US pada 1954 lalu.

2) Hidupan marin bermutasi. Ekoran radioaktif yang dilepaskan sangat kritikal, maka seluruh pulau, perairan serta terumbu karang telah musnah. Malah genetik hidupan marin juga turut rosak dan bermutasi sehingga menyebabkan mereka berupaya bercakap, berjalan, mempunyai kaki serta beraksi seperti manusia.

Inilah yang dapat dilihat menerusi semua watak dalam kartun ini termasuklah Spongebob (span laut bermutasi mempunyai anggota tubuh), Patrick (tapak sulaiman yang bermutasi boleh bercakap), ikan-ikan yang bermutasi boleh berjalan, makan macam manusia biasa.

Gambar: Stanford Earth

3) Sandy si tupai eksperimen. Ketika operasi bom Bravo, US turut menempatkan sejumlah haiwan sebagai bahan ujian. Watak tupai yang bernama Sandy dikatakan merujuk kepada haiwan-haiwan yang diuji dengan ledakan bom tersebut.

Sebab itulah watak Sandy memakai sut pelindung diri, dipercayai sebagai simbolik keselamatan menangkis impak letupan. Selain itu, ada yang mengatakan nama ‘Sandy’ itu diambil bersempena ledakan nuklear di pasir (sand).

4) Episod ‘Rock Bottom’. Dalam episod ini, Spongebob dan Patrick telah tersesat ke sebuah tempat ‘misteri’ yang bernama Rock Bottom. Suasanya agak berbeza dengan Bikini Bottom di mana hidupan marin di sini jauh lebih ‘menakutkan’.

Teori mengatakan bahawa hidupan di Rock Bottom sangat menyeramkan kerana mereka lebih teruk terjejas dengan kesan radiasi nuklear tersebut, hingga menyebabkan anggota tubuh menjadi pelik dan menyeramkan.

Gambar: GreePX

5) Bunga-bunga seakan awan. Jika diperhatikan, terdapat banyak bunga di ruang ‘udara’ Bikini Bottom dalam kartun ini. Bunga-bunga itu boleh dianggap sebagai awan bawah laut bagi kehidupa mereka.

Menariknya, kesemua bunga itu berwarna-warni. Ada teori mengatakan, objek yang seperti bunga itu sebenarnya merujuk kepada kesan minyak (mungkin akibat tumpahan) yang terapung pada permukaan air. Sebab itu Spongebob boleh hidupkan api walaupun dalam air.

Walaupun teori ini belum dapat disahkan secara teknikal, namun masyarakat optimis bahawa kartun Spongebob Squarepants yang dicipta oleh bekas pensyarah sains biologi marin ini memang suatu sindiran ‘halus’ kepada kerajaan US.

Sumber: The Conversation / Screenrant / CBR / Reddit / Spongebob Fandom / Variety 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.