Pernah tular kerana menjual motosikal ayah untuk berjumpa rakan lelaki yang dikenali melalui permainan siber, seorang remaja perempuan sekali lagi meraih perhatian apabila dilaporkan lari daripada rumahnya baru-baru ini.
Menurut Tribun News, gadis berusia 16 tahun itu menghilangkan diri sejak petang Jumaat lalu, dipercayai untuk menemui teman lelaki yang dikenali melalui permainan Free Fire itu.
Pelajar berasal Muaro Jambi itu dikatakan telah diajak untuk makan, namun dia sebaliknya menuju ke bilik mandi dan membuka paip air dipercayai untuk mengaburi mata orang tuanya.
Pelik kerana si anak tidak keluar setelah sekian lama, orang tua remaja itu kemudiannya membuka pintu tandas dan mendapati ia berada dalam keadaan kosong dengan paip air yang terbuka.
“Dah lama tapi tak keluar, lepas saya periksa sudah kosong,” katanya seperti dipetik Tribunnews.
Susulan itu, orang tua gadis berkenaan telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan pencarian sedang dijalankan.
Remaja itu sebelum ini pernah tular pada Jun lalu selepas cuba melarikan diri dengan menjual motosikal milik ayahnya demi bertemu kenalan maya yang mengaku berada di Jakarta Barat. Dia yang ditemui menangis di lapangan terbang itu dilaporkan telah membawa wang berjumlah Rp 20 juta (kira-kira RM5,902) di dalam begnya pada ketika itu.
Tambah portal tersebut, perkenalan mereka dihalang kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan selepas mereka curiga dengan pengakuan usia lelaki tersebut yang didakwa tampak berbeza di dalam gambar.
Malah, remaja itu dikatakan sanggup meluangkan masa selama berbelas jam menggunakan telefon untuk berhubung dengan lelaki itu.
“Kalau dikira, boleh sampai 17 jam main telefonnya,” ujar orang tua remaja itu.
Sumber: Tribun News