Pemain badminton China, Chen Long didakwa dikecam netizen senegara selepas dianggap ‘gagal’ membawa pulang pingat emas buat negara berkenaan, lapor Today Online.
Menurut portal itu, atlet berkenaan telah ditewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen ketika pusingan akhir perseorangan dengan jumlah mata 15-21, 12-21.
Untuk rekod, Chen Long pernah memenangi 14 kali perlawanan sebelum ini bersama pemain nombor dua dunia itu yang merupakan lelaki bukan Asia pertama memenangi kejuaraan itu sejak 1996, tulis portal itu.
Dipercayai tidak dapat menerima keputusan tersebut, netizen di China dilaporkan telah mengkritik persembahan atlet mereka di media sosial.
Tulis Today Online, ada yang menganggapnya sebagai ‘tidak berguna’ dan ‘memalukan’, malah tak kurang juga ada antara mereka yang menyamakan pertarungan itu seperti seorang dewasa yang berlawan dengan anak kecil, di mana Chen Long dianggap sememangnya tidak mampu melawan semula.
“Cepat ke tepi, jangan sekat perkembangan badminton China,” tulis salah satu komen yang dipetik semula oleh portal tersebut.
Susulan kekalahan itu, Chen Long tampil meminta maaf di media sosial negara berkenaan.

“Saya minta maaf kerana gagal pertahankan gelaran di Olimpik Tokyo, tapi saya tak dapat capai (ke tahap ini) tanpa sokongan dan sorakan anda.
“Semangat Olimpik dan rakyat China yang sentiasa meningkatkan kualiti diri sentiasa menjadi sumber motivasi saya. Saya bersyukur kepada ibunda yang melatih saya. Akhir sekali, saya dengan ikhlas mendoakan pasukan badminton China akan mendapat pencapaian yang lebih besar,” katanya seperti dilaporkan Today Online.
Lantaran itu, jurulatih Persatuan Badminton China, Zhang Jun dikatakan telah tampil mendedahkan kecederaan dialami Chen Long.
“Chen Long ada dua lepuhan besar pada tapak kaki yang menjejaskan pergerakannya. Tapi dia tidak mengalah dan bekerja keras untuk setiap mata,” ujarnya yang tersentuh dengan semangat pemain itu.

Tambah portal tersebut, sekiranya Chen Long memenangi pingat emas dalam acara tersebut, beliau bakal menjadi lelaki China kedua yang berjaya memenangi pingat emas Olimpik dalam sukan itu secara berturut-turut. Terdahulu, atlet senegara, Lin Dan telah memenangi pingat emas semasa di Beijing pada 2008 dan London Games pada 2012.
Sumber: Today Online