Kebenaran merentas negeri dan daerah bagi individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 akan diumumkan pada esok atau lusa.
Menurut laporan Astro Awani, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) melibatkan sektor sosial termasuk aktiviti ‘dine-in’ juga akan diputuskan dalam tempoh sama.
Menurutnya, pengumuman yang ditunggu-tunggu ramai penerima dua dos vaksin ini akan dibuat pada hari esok atau lusa. Tambah beliau yang juga sudah lengkap dua dos, belaiu juga masih tersekat kerana pengumuman untuk apa-apa kelonggaran atau kemudahan masih belum dibuat.
“Seperti contoh rentas negeri atau rentas daerah, nak jumpa ibu bapa di tempat lain atau suami dan isteri terpisah dengan anak, itu kita akan putuskan juga,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dataran Felda Batu 27, Lenga serta menyampaikan sumbangan makanan basah kepada masyarakat Felda Moakil di lokasi sama.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pengumuman berhubung kelonggaran SOP berkaitan sektor sosial juga akan diumumkan sehari dua lagi termasuk aktiviti riadah selepas memuktamadkannya menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Memetik laporan Awani beliau turut mengingatkan bahawa negara belum mencapai nilai ambang yang diperlukan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Jadi saya harap dengan kelonggaran nanti adalah sedikit rasa lebih selesa untuk riadah, bersukan dan sebagainya. Ini yang telah dipertimbang oleh MKN dan kita telah setuju cuma belum diumumkan lagi. InsyaAllah kita akan umumkan sehari dua sahaja lagi.
“Cuma nak ingatkan bahawa kita belum sampai ke nilai ambang walaupun ada keterbukaan ini kita masih ada dalam situasi yang belum lagi sepertimana warga kita divaksinasi 100 peratus,” tambahnya.
Sumber: Astro Awani