Siakap Keli
Gambar: Google

Setiap Kali Sukan Berlangsung, Mesti Akan Jadi Isu. Apakah Yang Dimaksudkan Dengan ‘Doping’?

Setiap kali temasya sukan ‘mega’ seperti Olimpik dan SEA berlangsung, pasti istilah ‘doping’ akan kembali kedengaran. Secara kasarnya yang kita faham, doping ini ada kaitan dengan dadah dengan atlet-atlet sukan tersebut.

Apakah yang dimaksudkan dengan doping sebenarnya? Mengikut definisi umum, doping merupakan penggunaan dadah atau ubat tertentu yang digunakan para atlet sebagai inisiatif mendapat ‘kekuatan’ maksimum ketika beraksi.

Walaupun nampak macam ‘membantu’, namun hakikatnya doping adalah satu kesalahan dalam undang-undang sukan. Malah ia telah diharamkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sejak 1967 lalu.

Satu badan khas iaitu Agensi Anti-Doping Sedunia (WADA) dibangunkan bagi menyelaras polisi ‘anti-doping’, undang-undang serta peraturan berkaitan bersama organisasi-organisasi sukan dan badan awam di seluruh dunia.

Terdapat lebih 660 organisasi sukan telah menandatangani perjanjian WADA Code bagi menyokong usaha ini, antaranya Jawatankuasa Olimpik & Paralimpik Antarabangsa dan persatuan-persatuan Sukan Olimpik Antarabangsa.

Bagaimana doping dikesan?

Gambar hiasan | Kredit: Google

Difahamkan, para atlet ini menggunakan bahan terlarang tertentu bagi meningkatkan stamina mereka. Ia bukan ketika perlawanan semata-mata, malah dipercayai telah mula digunakan semasa sesi latihan beberapa bulan sebelumnya.

Semua atlet yang ‘berentap’ perlu menjalani ujian anti-doping ketika sebelum, semasa dan selepas perlawanan. Ujian tersebut dilakukan melalui dua kaedah, iaitu pemeriksaan sampel darah ataupun sampel air kencing berdasarkan bahan yang digunakan.

Sekiranya atlet tersebut dikesan menggunakan sebarang bahan terlarang, maka hukuman akan diberikan termasuklah larangan menyertai mana-mana kejohanan sukan untuk satu tempoh tertentu atau bahasa mudahnya, diharamkan.

Kenapa doping dilarang?

Tujuan atlet menggunakan dadah adalah untuk mempertingkatkan stamina sepanjang perlawanan. Namun tindakan itu juga turut memberi risiko lebih berbahaya kepada tubuh badan mereka sendiri untuk jangka masa panjang.

Terdapat beberapa jenis bahan terlarang yang dikenal pasti kerap digunakan dan telah diharamkan penggunannya. Antara kelasnya ialah dadah jalanan (street drugs), perangsang, anabolic steroids, peptide hormones, diuretics, beta-2 agonists, anti-estrogen, blood doping dan gene manipulation.

Bagaimanapun bagi atlet yang memerlukan bahan ubat terlarang tersebut untuk tujuan perubatan, pihak anti-doping akan menawarkan pengecualian penggunaan terapi (TUE) agar mereka dapat menggunakannya.

Namun tindakan itu perlu melalui protokol yang telah ditetapkan seperti memperolehi kebenaran, serta turut dipantau penggunaannya agar tidak berlaku ‘salah guna’ dan penyelewengan.

Pengawalan ketat mengenai penggunaan bahan ‘bantuan’ ini tidak hanya tertumpu pada dadah dan ubat terlarang sahaja. Misalnya National Collegiate Athletic Association (NCAA) telah melarang penggunaan kafein yang berlebihan iaitu tahap kafein dalam air kencing yang melebihi 15μg / mililiter.

Gambar hiasan | Kredit: Google

Selain itu, penggunaan doping ini juga dianggap sebagai tidak adil dan menipu. Masakan tidak, atlet yang menggunakannya akan kekal bertenaga sepanjang perlawanan. Walhal yang membuatkannya bertahan bukanlah staminanya sendiri tetapi dadah.

Mengimbas kembali, antara insiden doping ‘terkantoi’ yang diingati hingga kini adalah melibatkan atlet Russia semasa Kejohanan Olimpik Musim Sejuk (Winter Olympic) di Pyeongchang, Korea pada 2018 lalu.

Atlet-atlet bekas negara Soviet Union itu dikatakan terlibat dengan skandal penggunaan doping hingga menyebabkan Russia diharamkan untuk menyertai sukan Olimpik pada tahun-tahun berikutnya.

Ketika Olimpik Tokyo 2020 sedang berlangsung kini, Russia dibenarkan menghantar atletnya namun harus mengikuti beberapa syarat, iaitu nama negara diganti dengan nama Russian Olympic Committee (ROC), lagu kebangsaan negara tidak boleh dinyanyikan serta bendera negara tidak boleh dikibarkan.

Sumber: Sportsmedtoday / The Conversation / Independent 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.