Ular tedung merupakan salah satu spesis ular yang sangat digeruni dan ditakuti oleh semua orang kerana ia mempunyai bisa yang sangat bahaya serta handal dalam menyerang hendap mangsanya.
Kebiasaannya, ia akan ‘menghuni’ kawasan hutan atau semak samun dan ‘bergiat aktif’ mencari makanan atau tempat ‘berteduh’ ketika musim panas.
Ketika itu, rumah-rumah penduduk yang berdekatan pasti akan menjadi sasarannya.
Mungkin ada yang boleh ‘menjinakkan’ ular tersebut tetapi akhirnya bantuan dari pihak bomba juga diperlukan untuk menangkap ular tersebut.
Baru-baru ini, tular satu video yang menyaksikan beberapa orang anggota bomba sedang dalam misi melepaskan seekor ular tedung.
Video yang dimuatnaik oleh Persatuan Kebajikan JBPM-Bomba di Facebook itu mencuri tumpuan ramai kerana keadaan ular itu yang sangat besar dan panjang.
Seorang anggota dilihat memegang ular itu dan bersedia untuk melepaskannya di sebuah kawasan bukit.
Ramai yang pastinya berdebar melihat detik-detik ketika ular itu dilepaskan kerana ia berpusing semula dan seperti ingin mengejar anggota terbabit. Pun begitu, reptilia tersebut terus melarikan diri.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa ukuran ular tersebut dan di mana ia ditangkap.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapt sebanyak 191 ribu tontonan di Facebook.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang gerun melihat ular itu serta sedikit terhibur melihat telatah anggota bomba yang bertempiaran lari kerana ular itu.
Sumber: Persatuan Kebajikan JBPM-Bomba