Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada timbalannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.
“Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada bulan September dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain.
“Ini adalah selaras dengan titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin berharap agar pendirian Ahli-ahli Parlimen BN tersebut akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini.
Selain itu, sokongan tersebut juga diharap dapat memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani COVID-19, mempercepatkan vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.
“Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,” tambahnya lagi.
Sumber: FB Muhyiddin Yassin