Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri di dalam Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.
Jelas Noraini yang juga selaku Ketua Wanita UMNO, beliau meletak jawatan kerana akur dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada 3 Ogos baru-baru ini.
”Berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Meteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta. Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang.
“Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Ahli Parlimen Parit Sulong itu, usaha tersebut akan diteruskan walaupun beliau tidak lagi memegang tugas sebagai seorang menteri.
“Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantu saya menjalankan tugas,” katanya.