Terkini, pelakon dan pelawak terkenal Shuib Sepahtu memaklumkan bahawa isterinya, Siti Sarah Raissuddin telah ‘pergi’ buat selamanya pada Isnin, jam 5.13 minit pagi.
Shuib mengumumkan berita sedih itu menerusi entri yang dimuat naik di Instagram (IG) rasminya sebentar tadi.
”(Pada jam) 5:13 minit pagi 9 Ogos 2021, bidadari syurga saya pergi buat selamanya.
”Mohon sedekahkan Al-Fatihah (buat) Siti Sarah Binti Raissuddin,” tulis Shuib.
Terdahulu, Siti Sarah terpaksa ditidurkan akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM) pada pagi Jumaat berikutan tahap oksigen tidak stabil.
Siti Sarah kemudiannya selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 4 petang Jumaat melalui pembedahan pada usia kandungan yang mencecah lapan bulan.
Pada 25 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan bahawa dia, suami dan tiga anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6 disahkan dijangkiti virus berkenaan.
Mereka sekeluarga mengambil ujian saringan selepas pembantu rumah mereka disahkan positif pada 25 Julai lalu.
Walau bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.
Pemergian Siti Sarah merupakan kehilangan besar buat industri seni tanah air. Semoga roh allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah kami ucapkan untuk Shuib sekeluarga!
Sumber: IG shuibsepahtu