PUTRAJAYA, 06 Ogos 2021 – Pada hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPrP) bagi mengukur purata perubahan harga perkhidmatan yang dikenakan oleh industri perkhidmatan tempatan di Malaysia.
Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPrP) bagi suku tahun kedua 2021 meningkat 0.3 peratus kepada 110.3 berbanding 110.0 pada suku yang sama tahun sebelumnya. Subsektor utama yang menunjukkan kepada peningkatan indeks ini ialah Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman (1.6%), Aktiviti Hartanah (1.5%), Pendidikan (0.5%), Kesihatan (0.3%) dan Profesional (0.1%). Bagaimanapun, subsektor Pengangkutan dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi masing-masing menunjukkan penurunan 0.3 peratus dan 0.1 peratus. Indeks Maklumat dan Komunikasi tidak berubah.”
Mengulas lanjut terhadap laporan tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Perbandingan suku tahunan menunjukkan indeks meningkat kepada 0.1 peratus. Peningkatan ini disumbangkan oleh tiga subsektor iaitu Kesenian, Hiburan & Rekreasi (1.1%), Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman (0.4%) dan Pengangkutan (0.1%). Manakala subsektor berikut adalah tidak berubah: Maklumat & Komunikasi, Aktiviti Hartanah, Profesional, Pendidikan dan Kesihatan.”
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai. Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita. Sila layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.