Pemergian Allahyarham Siti Sarah telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap rakyat Malaysia. Pelbagai kisah kebaikan, peringatan dan pengajaran yang dikongsikan orang ramai mengenai Allahyarham termasuk suaminya sendiri.
Pesan Shuib semasa siaran langsungnya petang tadi, beliau meminta orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan dengan mengambil makanan sihat serta mendapatkan suntikan vaksin.
Katanya, isterinya belum sempat mendapatkan suntikan vaksin sebelum dijangkiti virus berkenaan. Beliau juga sempat disapa seorang jururawat yang memintanya agar menyebarkan kebaikan vaksin kepada rakyat Malaysia.
“Akak tu cakap dengan saya, “Ib, kalau vaksin, sekurang-kurangnya dengan vaksin mungkin dapat membantu kita.”
“Saya tersentak, sebab saya tahu isteri saya belum divaksin.. Dia punya paru-paru jangkitan hampir semua bahagian hinggakan tak boleh bekerja untuk proses oksigen. Ia membuatkan semua organ badan dia tak berfungsi dengan baik.
“Saya rasa macam, ya kemungkinan juga pasal dia tak vaksin, kot, Wallahualam.
“Jadi kalau berpeluang untuk ambil vaksin, ambil vaksin, di saat macam ni, kematian hari-hari.. COVID-19 kalau dah terjadi sekejap sahaja. Dan bila terjadi, tiada u-turn.
“Saya yakin isteri saya akan sihat. Demi Allah, saya cukup yakin. Tapi saya bila saya berkomunikasi dengan doktor, doktor cakap, “Shuib, isteri awak punya paru-paru ni dah penuh COVID-19. Sebab itu tak boleh nak berfungsi.””
Lantaran itu, beliau berpesan kepada orang ramai agar berikhtiar menjaga kesihatan dengan meningkatkan imuniti tubuh.
“Makan vitamin, jangan sayang duit. Saya ingat lagi ketika dalam ambulans, saya nak bawa isteri ke hospital swasta tapi penuh. Masa tu dia dah teruk sangat. Masa tu saya terfikir duit yang banyak mana pun tak boleh sihatkan isteri saya. Itulah yang jadi.
“Jangan sayang duit, ada duit lebih, beli vitamin bagus. Kalau kurang, makanlah makanan yang kuatkan imun kita,” katanya.
Sumber: Shuib