Siapa yang pernah ke Melaka pasti tidak lengkap kunjungannya sekiranya tidak menaiki beca. Dahulu beca boleh didapati di seluruh semenanjung, tetapi sekarang ia hanya ada di beberapa tempat dan antaranya adalah di Melaka.
Malah beca Melaka adalah antara beca yang paling ‘meriah’ dan indah hiasannya di dunia. Pengayuh beca akan membawa kita ke sekitar bandar Melaka melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah, dan semuanya pada harga yang munasabah. Bayangkan, Melaka tanpa beca.
Itulah yang hampir terjadi sekarang. Pandemik covid-19 yang ganas membuatkan sektor pelancongan hampir mati. Tanpa pelancong, pengayuh beca juga tiada pelanggan dan pendapatan terjejas teruk, dan malah ada yang langsung tidak ada pendapatan.
Nasib pengayuh beca bukan sahaja tentang kemanusiaan, tetapi ia juga tentang budaya dan sejarah. Sekiranya pengayuh beca tidak dibantu, tidak mustahil beca akan lenyap daripada bumi Melaka.
Akan hilang satu budaya dan sejarah yang panjang.
Menyedari hakikat itu, MAPIM Malaysia dengan kerjasama kerajaan Negeri Melaka, hadir dalam program santuni ummah di bandar bersejarah ini. Ia diketuai oleh pimpinan MAPIM Malaysia iaitu, Ketua Aktivis MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery, Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol dan Bendahari MAPIM Malaysia, Kapten Hj Faris Hussain.
Tidak ketinggalan program istimewa ini turut diserikan dengan kehadiran penceramah terkenal Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff dan selebriti terkemuka, Zizan Razak.
Bagi membantu komuniti beca di Melaka, MAPIM Malaysia membawa sumbangan 100 buah kotak bantuan makanan untuk mereka.
Menurut (Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, “Ini semua adalah sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin. Kita di MAPIM, hanya sebagai penghubung, sebagai pemudah cara bagi menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan. Namun kita sedar bantuan ini tidak mampu menyelesaikan semua masalah mereka, yang mampu adalah meringankan beban mereka. Jangan ambil mudah tentang meringankan beban, kerana ramai yang tidak mampu berfikir secara rasional akibat tekanan yang dihadapi, dan apabila bebanan mereka ringan, tekanan berkurang dan mereka mampu berfikir secara waras untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri.”
Selain itu, MAPIM Malaysia juga turut menyantuni pekerja Zoo Melaka yang turut terjejas akibat ketiadaan pelancong. Ini termasuklah haiwan-haiwan comel dan eksotik Zoo Melaka yang turut terjejas akibat sumbangan untuk kos penyelengaraan dan rawatan yang semakin berkurangan.
Menurut Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis, hingga penghujung 2020, Zoo Melaka menerima bantuan daripada segelintir pihak bagi menampung empat bulan kos makanan haiwan di zoo. Namun, pada pertengahan Januari 2021, tiada dana mahupun bantuan diterima sejak zoo diarah tutup.
Dianggarkan kos hidupan liar di zoo berjumlah RM450,000 sebulan. Manakala, kos operasi kesuluruhan zoo adalah sebanyak RM750,000.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menghulurkan bantuan sebanyak 95 kotak bantuan untuk pekerja Zoo Melaka bagi meringankan beban mereka.
Selain itu MAPIM Malaysia juga memberikan 100 kilogram serbuk kunyit bagi tujuan rawatan kulit dan makanan buah-buahan kepada tiga ekor gajah yang mesra dikenali sebagai Lily (10), Mala (18) dan Hani (44).
MAPIM Malaysia merayu rakyat Malaysia yang prihatin untuk terus menyumbang, bagi membolehkan MAPIM Malaysia membantu lebih ramai lagi yang memerlukan.