PUTRAJAYA, 6 OGOS 2021 – Hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia, 2020 yang memuatkan dapatan kajian kesan COVID-19 ke atas pendapatan isi rumah di Malaysia pada tahun 2020. Laporan ini turut memaparkan statistik insiden kemiskinan di Malaysia pada tahun yang sama.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan anggaran ini dibuat berdasarkan kepada data dari Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS/BA) 2019 dengan mengambil kira indikator-indikator purata gaji dan upah, struktur pekerjaan, prestasi ekonomi mengikut sektor, demografi isi rumah dan maklumat nilai bantuan yang disalurkan kepada isi rumah sepanjang 2020. Laporan ini memaparkan statistik terpilih mengenai taburan pendapatan, struktur isi rumah dan insiden kemiskinan di Malaysia bagi tahun 2020. Kesan daripada pendemik boleh dilihat melalui Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS/BA) yang akan dilaksanakan pada tahun 2022.
Mengulas terhadap penemuan laporan tersebut, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, terdapat empat punca pendapatan iaitu pekerjaan bergaji, bekerja sendiri, harta & pelaburan dan pindahan semasa diterima. Pada tahun 2020, pendapatan bergaji dan bekerja sendiri yang merupakan punca utama pendapatan isi rumah masing-masing telah mencatatkan penurunan sebanyak negatif 16.1 peratus dan negatif 9.7 peratus. Justeru, pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun negatif 10.3 peratus untuk merekodkan RM7,089 berbanding RM7,901 pada tahun 2019. Penurunan ini disumbangkan oleh isi rumah atau individu yang telah mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan terutamanya mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain. Tambahan pula, pengurangan pendapatan ini bukan sahaja akibat daripada kehilangan pekerjaan malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran. Manakala, pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah yang mencatatkan penurunan negatif 11.3 peratus berbanding pada tahun 2019. Nilai pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah pada tahun 2020 ialah RM5,209 (2019: RM5,873).
Carta 1: Pendapatan Isi Rumah Kasar Bulanan Penengah dan Purata mengikut Negeri, Malaysia, 2019 dan 2020
Semua negeri mencatatkan penurunan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah. W.P. Putrajaya merekodkan penurunan pendapatan isi rumah bulanan paling rendah dan kekal merekodkan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah paling tinggi berbanding negeri lain masing-masing sebanyak RM12,322 dan RM9,743. Manakala Kelantan masih merekodkan pendapatan purata dan penengah paling rendah masing-masing sebanyak RM4,411 dan RM3,010.
Beliau turut mengulas lanjut dan menjelaskan, dari segi taburan isi rumah mengikut desil, majoriti isi rumah mengalami pengurangan pendapatan di mana kebanyakan isi rumah daripada kumpulan pendapatan desil lebih tinggi telah beralih kepada kumpulan pendapatan yang lebih rendah. Pada 2020, bilangan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 telah bertambah sebanyak 12.5 peratus. Sementara itu, sebanyak 20.0 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 telah beralih kepada kumpulan B40. Isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 turut terkesan akibat pandemik COVID-19 yang mana sebanyak 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan ini telah beralih kepada kumpulan M40. Memandangkan peratus penurunan pendapatan bagi isi rumah B40 dan M40 adalah lebih besar berbanding kumpulan isi rumah T20, maka agihan pendapatan bagi B40 dan M40 masing-masing menurun kepada 15.9 peratus (2019: 16.0%) dan 36.9 peratus (2019: 37.2%). Sementara itu, kumpulan T20 memiliki 47.2 peratus pendapatan, meningkat sebanyak 0.4 mata peratus berbanding 2019.
Carta 2: Bilangan Isi Rumah yang Mengalami Penurunan Pendapatan dan Agihan Pendapatan megikut Kumpulan Isi Rumah, Malaysia, 2020
Ketua Perangkawan turut menambah, berdasarkan kajian ini, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah pada tahun 2020 berbanding 405.4 ribu isi rumah pada tahun 2019. Insiden kemiskinan mutlak turut meningkat daripada 5.6 peratus (2019) kepada 8.4 peratus. Insiden kemiskinan tegar pula dianggarkan meningkat daripada 0.4 peratus (2019) kepada 1.0 peratus melibatkan 78.0 ribu isi rumah (2019: 27.2 ribu isi rumah). Insiden kemiskinan mutlak mengikut negeri menunjukkan Sabah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 25.3 peratus (2019: 19.5%). Kelantan mencatatkan peningkatan kemiskinan yang ketara dengan peningkatan sebanyak 8.8 mata peratus iaitu kepada 21.2 peratus daripada 12.4 peratus (2019), diikuti oleh Terengganu dengan peningkatan sebanyak 5.9 mata peratus kepada 12.0 peratus daripada 6.1 peratus (2019).
Secara keseluruhannya, penularan pandemik COVID-19 telah memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah. Ekonomi dijangka akan bertambah baik dan pulih apabila penularan pandemik ini dapat diatasi. Daripada analisis ini, didapati peranan kerajaan persekutuan dan negeri serta pelbagai pihak adalah amat penting dalam mengurangkan kesan pandemik ke arah memulihkan pendapatan isi rumah dan ekonomi negara. Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS/BA) yang seterusnya akan dilaksanakan pada tahun 2022 untuk tempoh 12 bulan di seluruh negara. Analisis daripada survei ini tidak terhad di peringkat nasional dan negeri sahaja bahkan sehingga ke peringkat daerah pentadbiran.
Carta 3: Insiden Kemiskinan Mutlak mengikut Negeri, Malaysia, 2019 dan 2020
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai. Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita. Sila layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.