Pemergian penyanyi tersohor tanah air, Siti Sarah Raissuddin hari ini cukup terkesan kepada ramai pihak termasuk rakan artis, Rebecca Nur Islam.
Melalui siaran langsung Astro Awani di acara pengebumian Allahyarhamah Siti Sarah tadi, Rebecca turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah.
Dia mengaku tak pernah rapat pun dengan Allahyarhamah, hanya berjumpa di majlis-majlis dan jauh sekali nak bertukar nombor sebelum dia sekeluarga tertular wabak Covid-19 kira-kira dua bulan lalu.
Rebecca sekeluarga, seramai 17 orang didapati positif, manakala suaminya ketika itu dalam keadaan yang agak kritikal sehingga dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurut Rebecca, Siti Sarah yang kemudiannya mendapat berita ini terus berusaha mendapatkan nombor telefonnya untuk bertanya khabar.
Rebecca yang ketika itu tidak mampu bersuara kerana batuk yang teruk hanya mampu berhubung melalui WhatsApp dan turut difahami oleh arwah.
“Allahyarhamah sangat baik, tanya makan ubat apa, dia siap perkenalkan doktor dia kepada saya,” kata Rebecca kepada Astro Awani.
Semenjak tahu keadaan kesihatan Siti Sarah, Rebecca mengaku tak lena tidur dan sentiasa mengikuti perkembangan Allahyarhamah.
Kata Rebecca lagi, dua hari lalu dia termimpikan Siti Sarah yang datang berjumpanya pada jam 3.30 pagi dengan berpakaian putih dan hanya tersenyum tanpa bicara.
Apabila mendapat tahu pemergian Allahyarhamah Siti Sarah pada jam 5.13 pagi tadi melalui akaun sosial media Shuib Sepahtu, Rebecca turut rasa kehilangan dan tampil memberi penghormatan terakhir hari ini.
Rebecca yang juga baru sahaja sembuh dari jangkitan wabak Covid-19 turut berpesan kepada orang ramai agar menjaga diri dan keluarga.