Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd. Fadzilah Kamsah memberitahu bahawa beliau dapat merasakan gangguan terhadap Siti Sarah yang kini masih tidak sedarkan diri, lapor Kosmo.
Menurut portal itu, beliau meminta suami selebriti berkenaan, Shuib agar mendapatkan kebenaran pihak hospital bagi memasang bacaan ruqyah buat isterinya.
“Saya sarankan kepada Shuib, minta kebenaran daripada pihak hospital untuk membuka bacaan ayat-ayat Ruqyah di katil Siti Sarah. Sebab saya dapat rasakan ada gangguan lain pada dia. Gangguan tersebut agak mengganggu dia,” ujarnya selepas sesi bacaan Yassin buat selebriti tersebut.
Beliau juga mencadangkan rawatan menggunakan Asmaul Husna serta bacaan al-Fatihah bagi mendoakan Siti Sarah.
“Kaedah merawat selain ubat dan teknologi moden adalah Asma al-Husna. Itu adalah terapi untuk semua jenis gangguan.
“Selain itu saya minta semua orang yang ada di sini, tengok gambar Siti Sarah dan bacakan al-Fatihah. Boleh juga baca apa sahaja doa.
“Kemudian hembuskan kepada gambarnya. Dengan niat supaya Allah sembuhkan dia. Mana tahu dalam lebih 1,000 orang yang berbuat demikian, ada seseorang yang Allah angkat doanya,” jelasnya seperti dipetik Kosmo.
Sumber: Kosmo