Susulan pemergian penyanyi tersohor tanah air, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, jasad Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pusu, Gombak, kira-kira jam 1.25 tengah hari tadi.
Van jenazah yang membawa jasad Allahyarhamah telah sampai di kawasan tanah perkuburan sebentar tadi, kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Menyusul di belakang van jenazah ialah ahli keluarga Allahyarhamah, termasuk suami dan keluarga terdekat dengan menaiki MPV berjenis Vellfire hitam.
Hanya keluarga yang dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan dan dikawal ketat oleh pihak PDRM dan RELA.
Sempat ada dron yang diterbangkan pihak tak diketahui yang menceroboh ruang udara kawasan perkuburan, sebelum dihalau pihak berkuasa.
Turut hadir semasa pengebumian Allahyarhamah Siti Sarah, rakan artis dan sahabat baik Allahyarhamah dan suami, pelawak terkenal Rahim Sepahtu.
Petugas media dan masyarakat setempat juga hadir dan menunggu saat terakhir sebelum jenazah dikebumikan, dari luar pagar kawasan tanah perkuburan.
Van jenazah berwarna hijau yang membawa Allahyarhamah bergerak dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 12.13 tengah hari tadi.
Sumber: Facebook Malaysia Gazette