Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Bagi bintang Tiktok, Khaby, hidupnya kini berubah selepas diberhentikan kerja akibat pandemik, lapor Daily Mail.
Menurut Daily Mail, pemuda berusia 21 tahun ini pernah bekerja sebagai pekerja kilang sebelum diberhentikan pada tahun lalu ketika COVID-19 melanda.
Tidak berputus asa dengan takdir, pemuda ini menggunakan masa lapangnya untuk memuatnaik video baru di Tiktok setiap hari sehingga mencapai 100 juta pengikut setakat ini.
Rata-rata pengikutnya adalah mereka yang tertarik dengan gelagat bersahaja pemuda itu menyanggah lifehacks tular di media sosial dengan caranya yang lebih mudah.
Malah, tanpa berkata apa-apa, ekspresi Khaby semasa ‘memperbetul’ lifehack tersebut telah mencuit hati jutaan penonton yang setia mengikuti video-videonya.
Salah satu videonya yang mendapat tontonan tertinggi ialah di mana dia menyanggah seorang lelaki yang memotong sebahagian baju untuk melepaskan pakaiannya yang tersepit di pintu kereta. Video tersebut telah mendapat lebih 158 juta tontonan di laman berkenaan.
@khaby.lame Bro why you ruined a T-shirt ?👕😔It was so easy…. – Fratello perché hai rovinato una T-Shirt?👕😔#learnfromkhaby #LearnWithTikTok #ImparaConTikTok
Berkongsi mengenai kehidupannya sebelum ini, Khaby dikatakan telah berpindah dari Senegal ke Itali bersama keluarganya semasa berusia satu tahun. Membesar di negara itu, dia telah berkenalan dengan seorang wanita Itali yang kini dipercayai menjadi teman wanitanya, Zaira Nucci.
Sementara itu, kongsi Khaby, dia sempat tinggal di perumahan awam sebelum menjadi terkenal.
“Perumahan awam ialah di mana saya hutang segalanya. Mereka ajar saya pendidikan dan buatkan saya membina ikatan,” katanya seperti dipetik Daily Mail.
Kini, Khaby mengakui mendapat pelbagai tawaran pekerjaan selepas menerima sambutan menggalakkan di laman Tiktok.
Tambah portal itu, pemuda berkenaan juga dikatakan bercita-cita untuk membeli sebuah rumah buat ibunya.

Sumber: Daily Mail