Pandemik Covid-19 yang ‘mengganas’ sejak awal tahun lalu dilihat masih ‘jauh’ untuk berakhir ekoran vaksin sedia ada di seluruh dunia kini didakwa masih belum mencukupi.
Ahli epidemiologi dan pegawai perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Larry Brilliant berkata, jumlah populasi dunia yang telah ‘selamat’ diimunisasi setakat ini hanyalah kira-kira 15 peratus sahaja.
Malah dakwanya, situasi semakin ‘tenat’ dengan kemunculan varian baharu, Delta di India yang dipercayai jangkitan virus paling teruk pernah ditemuinya.
“Saya rasa kita semua bukan lagi berada di penghujung pandemik, tetapi seakan baru bermula (dengan varian Delta).
“Kecualilah kalau kita sudah vaksinkan semua orang di setiap negara. Itupun masih ada lagi varian-varian baharu,” katanya kepada BBC baru-baru ini, memetik laporan Daily Mail.
Selain telah ‘bergelumang’ dengan Covid-19, dunia kini sedang menghadapi gelombang varian Delta yang ditemui buat pertama kali di Maharastra, India pada September tahun lalu.
Malah menurut Kementerian Kesihatan India, varian tersebut dipercayai lebih berbahaya kerana mempunyai mutasi berganda (double mutant) iaitu L452R dan E484Q yang mampu menjangkiti sel badan manusia.
“Varian baharu ini adalah varian Delta. Ianya berbeza.
“Ketika kita berkata mengenainya sebelum ini, kita belum pernah menghadapi virus yang mempunyai tempoh inkubasi selama tiga hari setengah, di mana setiap kes jangkitan akan menyebabkan lapan lagi individu dijangkiti dalam tempoh yang cepat,” tambahnya.
Bagaimanapun katanya, tiga jenis vaksin yang diluluskan di US, iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna dan Johnson & Johnson dipercayai sangat membantu menurunkan kadar jangkitan dan kematian akibat Delta.
Sumber: Daily Mail