Siakap Keli
Gambar: Zawawi Zaid

Lakaran Detik Terakhir Bersama Arwah Isteri Yang Dilukis Suami Ini Menyentuh Hati Ramai

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sebagai suami, menjalani hidup dan menempuh suka-duka bersama isteri tercinta adalah momen yang langsung tidak dapat dilupakan. Pengertian cinta itu sendiri diekspresikan dengan berbagai-bagai cara atas nama bahagia.

Bagaimanapun segala yang berlaku adalah takdir Yang Maha Esa. Detik bahagia sang suami dan isteri adakalanya boleh ‘terhenti’ seketika apabila salah seorang daripadanya ‘pergi’ buat selamanya.

Demikianlah seperti yang terjadi ke atas Zawawi Zaid apabila suri hati kesayangannya telah dijemput Ilahi kira-kira dua tahun yang lalu. Lebih menyedihkan, pemergiannya turut ‘disaksikan’ oleh sebungkus nasi ayam yang menjadi hidangan terakhir di dunia.

Mari ikuti perkongsian Zawawi dalam group Facebook LUKIS di bawah ini.

Sebuah lukisan tentang arwah isteri

Gambar: Zawawi Zaid

“Sue kempunan nasi ayam..”

Hari ini genap dua tahun tiga bulan pemergianmu Sue. Tengah hari 6 Ramadan, bersamaan 11 Mei 2019, Sue teringin nak makan nasi ayam, tetapi doktor menyuruhnya berpuasa, jangan minum atau makan. Jika minum pun, dalam kadar yang amat sedikit.

Kata Sue, dia sangat lapar. Aku bertanyakan padanya, apakah yang dia mahu makan, biar aku carikan dan belinya. Ketika itu bulan puasa, dalam pukul 3 petang, aku dapat membeli nasi ayam sebungkus yang aku cari di luar pagar Hospital Ampang.

Aku bergegas bawa ke wad hospital untuk Sue makan, tetapi para doktor tidak benarkan juga Sue makan dalam keadaannya yang agak tidak stabil. Nafas seolah tersekat-sekat, kata doktor oksigen dalam badannya semakin berkurangan. Jika makan, dibimbangi boleh termuntah, atau tersedak.

Sue masih tidak dibenarkan makan dalam keadaannya begitu. “Sabarlah Sue, doktor kata tak boleh makan lagi..lepas pakai oksigen, kalau nafas Sue dah stabil, Sue makan ye nasi ayam abang beli tadi..” pujuk aku pada Sue.

Aku pula langsung tidak menyangka yang keadaan Sue begitu rupanya tanda-tanda akhir hayatnya. Aku masih berharap Sue akan pulih seperti sediakala. 

Gambar: Zawawi Zaid
Gambar: Zawawi Zaid

Sampailah sebelah tengah hari itu Sue tenat. Terpaksa pakai oksigen, nafas tercungap-cungap. Hinggakan Sue tak sempat untuk dipakaikan mesin jangka hayat.

Selepas Maghrib, aku berbuka puasa dengan sepotong kuih dan sebotol kecil air mineral. Nasi ayam masih ada atas meja, aku tidak menjamahnya. Aku tetap simpan untuk Sue.

Aku mula bimbang hingga malam hari, Sue sangat-sangat tidak stabil. Aku tak henti berdoa, sambil bacakan Yaasin. Aku seorang diri, tanpa ditemani sesiapa. Berjurai air mata. 

Akhirnya tepat pukul 11.37 malam, 6 Ramadan, bersamaan 11 Mei 2019, Sue mengembuskan nafas terakhirnya..Nasi ayam masih tak terusik atas meja makannya, aku buangkan nasi ayam itu.

Selepas Sue meninggal dunia, berbulan-bulan juga aku tak menjamah nasi ayam kegemaran Sue..

“Abang percaya, di sana Sue dapat hidangan makanan yang sangat lazat. Semoga syurga tempat tinggalmu Sue dengan hidangan yang lazat-lazat…”

Tajuk: Sebuah Lukisan Tentang Arwah Isteri
Media: Teknikal pen & pensel di atas buku sketch 
Saiz: A4
Tahun dilukis: 11 Ogos 2021

Sumber: Zawawi Zaid melalui LUKIS

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.